Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di negeri utara kian pulih, hanya lebih 1,600 mangsa di Kedah

Oct 27, 2025 | 2:03 PM
Anggota tentera, Wan Ismail Wan Jusof, 38 tahun, menunjukkan paras banjir ketika kediamannya di Kamunting, Perak, dilanda bencana itu pada malam 23 Oktober lalu.
Anggota tentera, Wan Ismail Wan Jusof, 38 tahun, menunjukkan paras banjir ketika kediamannya di Kamunting, Perak, dilanda bencana itu pada malam 23 Oktober lalu. - Foto BULETIN TV3

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda tiga negeri di utara Malaysia beberapa hari lalu beransur pulih di Perak dan Pulau Pinang, namun Kedah kembali mencatatkan pertambahan jumlah mangsa setakat 1 tengah hari 27 Oktober.

Menurut kemas kini di laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih 1,700 mangsa banjir dicatatkan di Kedah setakat ini, berbanding Perak yang kian menurun kepada 900 orang, manakala hanya lebih 130 mangsa masih terjejas di Pulau Pinang.

Sementara itu, Buletin TV3 melaporkan banjir di Kamunting, Perak, menjadi pengalaman mencemaskan kepada dua keluarga yang terperangkap di rumah bersama ibu dalam pantang dan bayi yang baru dilahirkan.

Detik cemas itu dialami anggota tentera, Wan Ismail Wan Jusof, 38 tahun, yang terperangkap beberapa jam bersama isteri, Cik Norazlina Romli, 36 tahun, dan bayi berusia enam hari.

Beliau berkata keadaan amat genting selepas air naik mendadak sehingga ke paras dada dan mereka pada mulanya cuba bertahan di dalam rumah, namun bimbang terperangkap selepas air terus naik.

Pasangan itu bersama seorang lagi anak perempuan berusia 13 tahun keluar dan naik ke atas bumbung kereta bagi menunggu pasukan penyelamat.

“Kami terperangkap kira-kira dua jam bermula kira-kira 7 malam hingga 9 malam sebelum bantuan penyelamat sampai,” katanya.

Sementara itu nasib sama menimpa Cik Nur Fatin Nafasha Arisam, 20 tahun, yang terperangkap di rumah bersama bayi lelakinya berusia tiga bulan.

Ketika kejadian suaminya berada di tempat kerja dan beliau diselamatkan bapa mentua yang tinggal berhampiran dan datang meredah banjir ke rumahnya.

“Masa itu air semakin naik dan bapa mentua saya orang pertama datang redah banjir untuk bantu. Beliau buka pintu dan ketika itu air sudah di paras dada, nasib baik pintu masih boleh dibuka dan kami kemudian menyelamatkan diri dengan duduk di atas bumbung kereta.

“Kemudian ada penduduk datang bantu selamatkan kami dengan pelampung bawa ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Penduduk yang sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kini giat menjalankan proses pembersihan kediaman masing-masing.

Sebelum ini, Berita Harian Malaysia, melaporkan kesan banjir kilat yang melanda Trong di dalam daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) di Perak, turut merosakkan struktur kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan Kuala Trong, sehingga terdapat jenazah yang sudah dikebumikan timbul ke permukaan tanah.

Penduduk memaklumkan, jenazah dikebumikan sejak bulan lalu itu dihanyutkan arus deras banjir selepas terkeluar daripada keranda kayu dengan terdapat beberapa kubur lain dilihat turut terhakis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg