Gelombang banjir mula melanda di sebelah utara Malaysia, dengan hampir 4,000 mangsa daripada lebih 1,200 keluarga dipindahkan ke 40 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Berdasarkan kemas kini di laman web Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 3 petang 24 Oktober, Perak paling teruk terjejas dengan lebih 2,300 mangsa dipindahkan ke 24 PPS di empat daerah terjejas iaitu Larut; Matang dan Selama (LMS); Manjung; Perak Tengah dan Kerian.
Keadaan banjir di beberapa kawasan di Perak agak teruk, dengan banjir akibat hujan lebat berterusan menyebabkan kenderaan dan kediaman penduduk ditenggelami air sehingga hampir mencecah paras bumbung rumah, manakala pelbagai barangan rumah dihanyutkan banjir.
Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan memaklumkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Taiping di Perak bagi arah utara di Lebuhraya Utara Selatan ditutup sementara pada 24 Oktober, berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan air bertakung di kawasan berkenaan.
Menurut Plus, penutupan itu perlu bagi memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kerajaan Perak telah mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mulai 9.30 malam 23 Oktober menyusuli banjir yang memburuk, terutama di LMS serta Manjung.
Beliau berkata serentak dengan itu, semua jabatan dan agensi keselamatan negeri telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi mempercepatkan operasi pemindahan dan kerja menyelamat.
“Tindakan pantas ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Oktober.
Menurutnya, setakat ini, sejumlah 74 aset dan kenderaan pelbagai agensi telah digerakkan ke kawasan terjejas, terdiri daripada 16 bot penyelamat; 25 lori pelbagai saiz; lapan ambulans; 12 kenderaan pacuan empat roda; serta 13 khemah dan pelbagai peralatan keselamatan.
“Tambahan aset kenderaan dan sampan juga telah digerakkan ke semua lokasi berisiko bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera, tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menasihati semua penduduk di kawasan terlibat agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, serta tidak terlibat dalam kegiatan berhampiran sungai, tali air atau alur limpah sepanjang tempoh hujan berterusan ini.
Sementara itu di Kedah, Kosmo! melaporkan sekurang-kurangnya 15 kampung di lima daerah di negeri itu, Bandar Baharu, Kulim, Baling, Sik dan Pendang, dilanda banjir ekoran hujan lebat berpanjangan sejak 23 Oktober.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata banjir berlaku kira-kira 7 malam 23 Oktober, selepas hujan lebat berterusan melebihi empat jam.
Kemas kini Info Bencana JKM merekodkan lebih 970 mangsa terkesan banjir di dua daerah di Kedah iaitu Kulim dan Kuala Muda dan kini berlindung di dua PPS.
Di Pulau Pinang pula, Info Bencana JKM memaklumkan tiga PPS dibuka di tiga daerah terjejas iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah dan Barat Daya Pulau Pinang, untuk menempatkan lebih 550 mangsa, selepas beberapa kawasan rendah dilanda banjir.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg