Gelombang pertama banjir yang melanda sembilan negeri di Malaysia sejak seminggu lalu, merekodkan enam korban, memusnahkan kediaman, harta benda dan tanaman, dengan bantuan segera RM1 bilion ($300 juta) diperuntukkan kerajaan untuk kerja baik pulih kerosakan awam akibat bencana itu.
Jumlah kerugian akibat bencana itu dijangka meningkat berbanding 2023, mengambil kira ramalan pihak berkuasa mengenai kemungkinan Malaysia menghadapi episod banjir kedua terutama di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Ia susulan jangkaan luruan monsun (ledakan udara sejuk yang kuat) dijangka melanda bermula 8 hingga 14 Disember ini, yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir.
Gelombang pertama banjir menyaksikan dua negeri Pantai Timur – iaitu Kelantan negeri paling teruk terjejas dengan hampir 100,000 mangsa dipindahkan, manakala Terengganu mencatatkan lebih 30,000 mangsa.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Disember mengesahkan jumlah mangsa yang direkodkan sejak awal banjir sehingga 4 Disember adalah seramai 235,706 orang – angka tertinggi pernah direkodkan dalam catatan sejarah negara.
Menurut beliau data itu berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Datuk Anwar turut melahirkan kebimbangan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir dan mengarahkan agensi berkaitan bersiap sedia serta mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Mudah-mudahan insya-Allah kita dapat kawal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di Putrajaya, pada 4 Disember.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula menegaskan kerajaan ketika ini sedang menilai jumlah kerugian membabitkan kemusnahan hasil pertanian, harta benda dan prasarana awam akibat banjir di seluruh Malaysia.
“Kita akan umumkan (jumlah kerugian) nanti, kita tidak ada data lagi setakat ini. Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedang menilai kerugian itu di seluruh negara,” katanya dalam satu majlis di Durian Tunggal, Melaka pada 4 Disember.
Datuk Zahid sebelum ini berkata Malaysia merekodkan nilai kerugian RM755 juta pada 2023, berkurang berbanding RM1.03 bilion pada 2022.
Penurunan sebanyak RM275 juta itu dicapai hasil pengurusan yang cekap dan kerjasama erat pelbagai pihak menerusi langkah pengurangan risiko bencana.
Setakat ini, Polis Kelantan merekodkan kerugian sebanyak RM1.55 juta selepas beberapa balai dan pondok polis ditenggelami banjir.
Kemas kini JKM setakat 5 petang 4 Disember menunjukkan lebih 56,000 mangsa masih berada di 201 pusat pemindahan sementara di tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Melaka, Pahang dan Perak.
Jumlah mangsa di Johor tidak berubah dengan seramai 1,032 orang masih berada di PPS dekat Segamat dan Tangkak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg