Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pascabanjir: Tangisan mangsa lihat rumah, harta benda musnah

Air bah surut, jumlah mangsa kian susut; 70,000 di pusat pemindahan sementara
Dec 3, 2024 | 6:12 PM
Dua mangsa banjir di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan, tidak dapat menahan pilu melihat rumah mereka roboh dilanda banjir.
Dua mangsa banjir di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan, tidak dapat menahan pilu melihat rumah mereka roboh dilanda banjir. - Foto BERNAMA

Rasa lega apabila air banjir mula surut tidak memberi kegembiraan buat mangsa bencana di sembilan negeri terjejas, apabila kepulangan mereka disambut dengan keadaan rumah yang musnah dan disaluti lumpur, selain kehilangan harta benda yang menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

Dengan jumlah mangsa yang kian berkurang kepada 70,000 di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 5 petang 3 Disember, sebahagian besar mula pulang ke rumah masing-masing dengan perasaan pilu dan hampa melihat rumah tempat berlindung ranap dibadai banjir.

Ketika ini, sebahagian yang masih punya kediaman amat mengharapkan bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah mereka, sementara yang hilang tempat tinggal masih berlindung di PPS.

Di Jitra, Kedah, penduduk di Taman Tabung Haji, Kepala Batas, mula membawa keluar pelbagai barangan yang rosak dan dikumpulkan serta membersihkan kesan lumpur di dalam rumah.

Seorang penduduk Cik Rukiah Mahmud, 69 tahun, berkata beliau dan suami, Ku Shariman Ku Hashim, 67 tahun, mula membersihkan rumah sejak pagi 3 Disember, namun tidak mampu melakukan banyak kerja kerana faktor usia.

“Saya dan suami warga emas, kalau ada bantuan daripada badan bukan kerajaan atau sukarelawan memang sangat membantu, sebab terlalu banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan,” katanya.

Di Kelantan, negeri paling teruk terjejas banjir, ramai penduduk hanya mampu menitiskan air melihat kediaman mereka roboh sepenuhnya dan tidak dapat dihuni lagi.

Sebaik banjir surut, lebih banyak kemusnahan dapat dilihat antaranya jalan raya yang rosak dan tidak boleh dilalui, kenderaan yang ditelan bumi dan harta benda yang hanyut dibawa arus banjir.

Usaha pempengaruh dan usahawan popular, Encik Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, mengagihkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada lebih 20,000 mangsa banjir di Kelantan sejak 1 Disember memberi sedikit senyuman kepada mangsa.

Penduduk kebanyakannya masih belum mampu menarik nafas lega meskipun situasi banjir menunjukkan trend penurunan.

Ini berikutan ramalan gelombang kedua banjir akan mula melanda dalam tempoh terdekat.

Banjir juga mengundang pelbagai penyakit, dengan sebanyak 4,894 kes penyakit berjangkit direkodkan di beberapa PPS seluruh Kelantan sepanjang musim tengkujuh ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata jangkitan saluran pernafasan mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti oleh jangkitan kulit sebanyak 1,367 kes.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen pada 3 Disember, pula berkata kadar limpahan hujan di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari – dari 26 hingga 30 November – adalah jauh daripada jangkaan, melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima selama enam bulan, sehingga membawa kepada banjir besar di negeri itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg