KOTA KINABALU (Sabah): Enam sekolah di Penampang dan Tuaran di Sabah masih ditutup pada 2 Julai, akibat banjir yang melanda dua daerah di negeri itu, menjejas 2,659 murid dan pelajar selain 194 guru yang tidak dapat ke sekolah.
Jumlah itu bagaimanapun menurun berbanding 10 sekolah di empat daerah iaitu Penampang, Tuaran, Sipitang dan Papar, Sabah, yang ditutup pada 1 Julai akibat banjir, yang menyebabkan lebih 5,000 murid dan pelajar serta 307 guru terjejas.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata semua sekolah tersebut masih tidak dapat beroperasi susulan banjir yang berlaku sejak 30 Jun.
“Semua empat sekolah yang sudah boleh dilalui dan dibuka sedang menjalani proses pembersihan berikutan dinaiki lumpur dan air banjir,” katanya, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, situasi banjir di beberapa daerah di Sabah semakin buruk pada 2 Julai, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah meningkat kepada 482 orang daripada 140 keluarga.
Menurut laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hujan lebat dan ribut petir berterusan menyebabkan pertambahan jumlah mangsa banjir di empat daerah iaitu Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.
Daripada jumlah itu, mangsa membabitkan seramai 162 lelaki dan 142 perempuan dewasa, selain 165 kanak-kanak lelaki dan perempuan, sementara 12 bayi lelaki dan perempuan dipindahkan ke empat PPS di empat daerah itu.
Pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga masih giat menjalankan usaha memindahkan mangsa yang terperangkap di kediaman masing-masing dan jumlah mangsa dijangka terus bertambah.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah pada 2 Julai dalam kenyataannya memaklumkan Jalan Lintas Luagan, di daerah Sipitang iaitu Kilometer (KM) 0.5 hingga KM1.55 tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kerana air sungai melimpah disebabkan hujan berterusan di kawasan hulu.
Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di pedalaman Sabah iaitu Kuala Penyu dan Beaufort.
Turut dijangka terkesan di pantai barat Sabah adalah Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran, selain di pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Semporna.
Banjir yang melanda Sabah setakat ini menyaksikan seorang wanita berhati mulia menjadi korban banjir selepas dihanyutkan arus deras ketika bersama suaminya membantu menghantar makanan untuk mangsa yang terperangkap dalam banjir di daerah Penampang pada 1 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg