Bekas CEO, akauntan Global Ikhwan hadapi 331 pertuduhan ubah wang haram
Bekas CEO, akauntan Global Ikhwan hadapi 331 pertuduhan ubah wang haram
SHAH ALAM (Selangor): Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan tiga bekas akauntannya dikenakan 331 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM38.1 juta ($12.29 juta) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 29 Januari.
Pertuduhan itu membabitkan Nasiruddin Mohd Ali, 67 tahun, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan nilai lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74 tahun, (95 pertuduhan, RM11.4 juta); Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46 tahun, (68 pertuduhan, RM4.7 juta); dan Mohd Khushairi Osman, 55 tahun, (91 pertuduhan, hampir RM12 juta).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohd Ashrof Adrin Kamarul, untuk kes tersebut dibicarakan bersama dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.
Kesemua pertuduhan itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kulim selain Shah Alam, lapor Kosmo!.
Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil kegiatan haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pada prosiding itu, Encik Mohd Ashrof berkata pihaknya mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah setebal 10,000 muka surat.
“Dokumen sudah pun dilengkapkan untuk keempat-empat tertuduh, saya percaya peguam memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen tersebut,” katanya.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin, yang mewakili Mohd Nasirudin Asmat @ Asmanira dan Md Khushairi, memaklumkan telah menerima arahan daripada anak guamnya supaya meneliti kesemua dokumen tersebut bagi mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 diteruskan kepada Hamimah bersama syarat tambahan termasuk melaporkan diri di Ibu pejabat Polis Bukit Aman, tidak mengganggu saksi pendakwaan serta memaklumkan sebarang pertukaran alamat.
Sebutan semula kes termasuk bagi keputusan representasi ditetapkan pada 5 Mei.
Media Malaysia pada 11 November 2025 melaporkan sejumlah 230 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih 2.41 juta yang dilakukan keempat-empat tertuduh di Selangor dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen.
Selain itu, Hamimah turut didakwa 35 pertuduhan berjumlah RM9.28 juta di Mahkamah Sesyen Kulim dan Asmat @Asmanira dengan 22 pertuduhan (RM881,813) di Mahkamah Johor Bahru serta 40 pertuduhan bernilai RM3.82 juta bagi Mohd Khushairi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Global Ikhwan mula disiasat polis pada September 2024 menerusi ‘Op Global’ di Selangor dan Negeri Sembilan dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak serta remaja di puluhan rumah amal kendalian GISBH yang menjadi mangsa eksploitasi, serangan seksual dan penderaan.
Ia membawa kepada siasatan terperinci polis terhadap Global Ikhwan, yang kemudian membongkar pelbagai salah laku kumpulan perniagaan itu termasuk dikatakan masih mengamalkan ajaran tarekat Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994, penghambaan pekerja, penyelewengan dana awam dan pengubahan wang haram.

