Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia kaji undang-undang tangani kumpulan pemujaan pelampau

Dec 3, 2024 | 12:40 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.  
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.   - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengkaji kesesuaian menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada, seperti Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) terhadap kumpulan kultus (pemujaan melampau) di negara itu.

Langkah itu sedang diperhalusi Kementerian Dalam Negeri (KDN), berikutan undang-undang bersifat punitif berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan isu berkenaan secara holistik disebabkan masalah teknikal perundangan seperti undang-undang pencegahan.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata KDN sentiasa komited dalam mengkaji dan menambah baik semua undang-undang di bawah kawal selianya, termasuk membabitkan kesalahan keselamatan.

“Jika terdapat keperluan meminda akta berkenaan, kementerian akan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh yang berkepentingan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen Malaysia, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Datuk Saifuddin, kerajaan turut melancarkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) yang menggariskan empat teras dan mengandungi 15 Fokus Strategik, 59 Inisiatif, dan 60 Petunjuk Prestasi Utama.

“Kerajaan percaya pelan berkenaan berupaya mencegah penularan fahaman pelampau dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, sama ada kerajaan bercadang menggubal atau meminda undang-undang baru bagi mengekang kegiatan kumpulan kultus dengan lebih berkesan dan menyeluruh, seperti Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Kumpulan perniagaan itu disiasat pihak berkuasa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk eksploitasi agama, pemerdagangan manusia dan penganiayaan kanak-kanak.

Datuk Saifuddin berkata KDN akan terus menyokong reformasi negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat agenda Malaysia Madani dicapai.

Pada 23 Oktober, Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan, Nasiruddin Mohd Ali, bersama 21 individu lain dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan, iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Kumpulan itu telah difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada September.

MKI memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli Global Ikhwan adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam, selepas yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan penyelidik mengenai kegiatan kumpulan serpihan Al-Arqam itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg