Hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap 108 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mendapati, wujud beberapa fakta mengenai kepercayaan dan amalan ajaran menyeleweng diamalkan suspek bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.
Perkara itu disahkan Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, yang menjelaskan semua individu berkenaan disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi soal akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
Menurut beliau, antara amalan dan kepercayaan sesat yang diikuti suspek termasuklah mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.
“Kumpulan ini juga mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah saw atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Abuya dipercayai merujuk kepada Allahyarham Ashaari Muhammad, yakni pengasas pertubuhan Al-Arqam yang difatwakan sebagai ajaran sesat pada 1994.
GISBH merupakan serpihan daripada pertubuhan Al-Arqam yang diasaskan Allahyarham Ashaari pada 1968.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Shahzihan berkata siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian dalam GISBH diatur pemimpin kumpulan.
Akad perkahwinan dijalankan dengan cara yang ditentukan pemimpin, sekali gus menimbulkan masalah dalam penentuan nasab kanak-kanak yang diselamatkan polis dari rumah amal.
“Dapatan siasatan menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dengan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.
“Situasi dan keadaan ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).
“Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak,” katanya.
Datuk Mohd Shahzihan berkata pada masa sama, Jais bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Péndaftaran Negara serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar daripada 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global sejak 11 September.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut GISBH di negeri itu, yang berperanan merangka gerak kerja pemulihan akidah mereka yang terbabit dengan GISBH di Johor.
Beliau berkata jawatankuasa itu bertujuan menyelaras pendidikan persekolahan, penempatan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada anak pengikut GISBH,” katanya.
Kumpulan perniagaan GISBH kini disiasat polis dengan dakwaan pelbagai kesalahan termasuk penganiayaan dan penderaan kanak-kanak, serangan seksual, penghambaan pekerja, ajaran sesat, pengubahan wang haram dan perkahwinan paksa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg