Bekas ketua perisikan pertahanan M’sia didakwa terima rasuah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas ketua perisikan pertahanan M’sia didakwa terima rasuah

Tidak mengaku salah atas tiga tuduhan terima suapan wang AS$20,000 dan RM64,600 untuk tiket penerbangan ke luar negara bagi isterinya
Jan 29, 2026 | 3:04 PM

Bekas ketua perisikan pertahanan M’sia didakwa terima rasuah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Malaysia, rasuah, Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia, Datuk Mohd Razali Alias,
Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia, Datuk Mohd Razali Alias (depan, kanan), didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 29 Januari, atas tiga tuduhan menerima rasuah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysia, Datuk Mohd Razali Alias, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 Januari, atas tiga tuduhan menerima suapan wang AS$20,000 (RM78,660 / $25,236) dan RM64,600 untuk tiket penerbangan ke luar negara bagi isterinya.

Datuk Mohd Razali, 60 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas ketiga-tiga tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tuduhan pertama ialah menerima suapan wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45 tahun.

Kesalahan ini didakwa berlaku di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, antara Ogos dan November 2024.

Wang itu didakwa sebagai dorongan bagi beliau, selaku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meluluskan sijil pengesahan perkhidmatan untuk pembayaran Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), lapor Berita Harian Malaysia.

Bagi tuduhan kedua, Datuk Mohd Razali didakwa menerima pembayaran RM26,800 sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM untuk tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Malaga, Sepanyol, bagi isterinya, Datin Azarina Bakia, 59 tahun, pada 15 November 2024.

Tuduhan ketiga pula, Datuk Mohd Razali didakwa telah menerima RM37,800 daripada Sheikh Ahmad Nafiq untuk tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Estonia bagi isterinya.

Tertuduh mengetahui suapan ini berkait rapat dengan tugas rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 April 2025.

Hakim Suzana membenarkan Datuk Mohd Razali diikat jamin RM50,000 bagi semua tuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut diperintah menyerah pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan pada 16 Mac ini bagi tarikh sebutan kes.

Pada 22 Januari lalu, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata dua lagi pegawai kanan ATM bergelar Datuk akan didakwa atas pertuduhan rasuah.

Isu rasuah sebelum ini telah menggemparkan pasukan pertahanan tentera Malaysia, dengan beberapa pegawai tinggi, termasuk dua bekas panglima tentera, telah didakwa di mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg