SPRM rampas aset RM2j, beku 21 akaun kes rasuah pegawai TLDM
SPRM rampas aset RM2j, beku 21 akaun kes rasuah pegawai TLDM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 21 akaun bank, selain menyita aset dianggarkan bernilai RM2 juta ($640,000) yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pembekuan akaun dan aset menerusi Op Layar itu merangkumi tujuh milik syarikat dan 14 perbankan beberapa individu yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM700,000.
Ia menyusuli siasatan ke atas beberapa syarikat dipercayai terbabit rasuah bagi mengesyorkan dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu, turut disita adalah dua hotel milik pegawai kanan TLDM berkenaan bernilai kira-kira RM2 juta.
Difahamkan, SPRM juga sedang membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, mengesahkan perkara itu dan berkata SPRM sedang mempergiatkan siasatan ketika ini.
Katanya, sehingga hari ini SPRM sedang merakam keterangan tujuh individu yang disyaki terbabit dalam kes itu.
Beberapa hari lalu, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan Tentera TLDM kerana disyaki terbabit rasuah dengan mengesyorkan serta melantik syarikat kroninya untuk mendapatkan kerja sebut harga di tempat pegawai kanan itu bertugas.
Menyusuli itu, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, pada 26 Januari, isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, sekali lagi didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu, atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000.
Cik Salwani Anuar @ Kamarudin, 27 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Otman selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Cik Salwani didakwa menerima wang hasil aktiviti haram apabila RM5,000 dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya. Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Cawangan Jerteh, Besut, Terengganu, pada 16 Januari 2025.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan syarat jaminan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mac dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini pada 22 Januari lalu, Cik Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM77,000 yang diterimanya antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.
Suaminya, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain, turut didakwa di mahkamah pada 22 dan 23 Januari lalu atas enam pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.34 juta.

