Bekas pegawai kebajikan Sarawak dipenjara 468 tahun, denda RM180j
Bekas pegawai kebajikan Sarawak dipenjara 468 tahun, denda RM180j
Didapati salah 36 tuduhan ubah wang haram, pecah amanah RM16j
Bekas pegawai kebajikan Sarawak dipenjara 468 tahun, denda RM180j
KUCHING: Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dijatuhi hukuman penjara berjumlah 468 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, selepas didapati bersalah atas 36 tuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah lebih RM16 juta ($4.79 juta).
Hakim Musli Ab Hamid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38 tahun, didenda RM180 juta yang jika gagal bayar dikenakan tambahan penjara 36 bulan dan tiga sebatan.
Bagi setiap 36 tuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM5 juta, yang jika gagal membayarnya akan dipenjara sebulan bagi setiap kesalahan.
Bagi setiap tiga tuduhan CBT pula, dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan.
Hakim turut memerintahkan hukuman penjara yang dijatuhkan itu berjalan serentak,” lapor Berita Harian Malaysia.
Berikutan itu, Mohd Zairull Arzuan hanya perlu menghabiskan hukuman 12 tahun penjara, bergantung sama ada dia mampu membayar denda RM180 juta yang jika gagal perlu menjalani tambahan tiga tahun lagi di penjara.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Zairull Arzuan melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara 2020 dan 2022, membabitkan sejumlah lebih RM6 juta, manakala kesalahan CBT sebanyak lebih RM10.27 juta dilakukan antara 2019 dan 2021.
Difahamkan, perbuatan itu terdedah apabila penyata gaji Mohd Zairull Arzuan menunjukkan transaksi yang mencurigakan, dengan lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaunnya.
Dia yang juga pegawai bertanggungjawab bagi simulasi (latihan) gaji jabatan itu di Sarawak menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 31 Januari 2022.
Bagaimanapun, dia memendekkan tempoh notisnya dan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 31 Disember 2021.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Amanina Wan Din, Encik Mohd Ashrof Kamarul dan Cik Manjira Vasudevan, manakala peguam Christopher Bada mewakili tertuduh.

