Tamak jawatan atau strategi? Konflik jawatan Pengerusi PN goyahkan pakatan pembangkang
Tamak jawatan atau strategi? Konflik jawatan Pengerusi PN goyahkan pakatan pembangkang
Parti Islam SeMalaysia (PAS) sudah bersemangat untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan pembangkang itu secara mengejut, berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Namun, selepas sebulan berlalu, sehingga hari ini kekosongan jawatan Pengerusi PN itu masih belum diisi, sebaliknya terus buntu dengan satu persatu drama yang tidak berkesudahan.
Walaupun PAS mengesahkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, tidak akan mengemudi PN, parti itu sudah memuktamadkan pemimpin kanannya yang dirasakan layak untuk mengetuai PN.
Usaha PAS mengambil langkah segera untuk menamakan pengganti itu dilihat penting, terutama dalam usaha PN memperkukuhkan imej sebagai gabungan alternatif buat pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, yang dijangka sebelum 2028.
Pun begitu, polemik berterusan yang ‘menggagalkan’ usaha PAS menamakan pengganti Pengerusi PN memuncak pada 27 Januari, apabila Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari, yang antara agendanya bertujuan membincangkan jawatan Pengerusi PN terpaksa dibatalkan.
Pembatalan itu selepas Tan Sri Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya menjemput ketua parti komponen utama gabungan itu – PAS, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertemu di kediamannya pada 29 Januari.
Namun, Tan Sri Abdul Hadi tidak muncul dalam pertemuan itu, sekali gus membuatkan naratif bahawa bibit perpecahan gabungan itu semakin luas bertebaran.
Malah, beberapa bekas pemimpin Bersatu terutama yang dipecat juga galak mengkritik Tan Sri Muhyiddin yang dikatakan ‘tamak jawatan dan kuasa’, apabila beliau dilihat seolah-olah cuba menyulitkan PN untuk menamakan Pengerusi baru, dengan beberapa tuntutan.
Tan Sri Muhyiddin mencadangkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepimpinan gabungan itu disusun semula, bertitik tolak daripada pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baru itu.
Dalam satu surat daripada Tan Sri Muhyiddin kepada pimpinan PAS, Gerakan dan MIPP, mantan Perdana Menteri itu mendakwa PAS telah bersetuju supaya jawatan Pengerusi PN dimansuhkan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Presiden yang akan dikemudi Bersatu, sementara PAS akan memimpin Majlis Eksekutif yang bakal ditubuhkan.
Majlis Presiden akan berfungsi sebagai badan pembuat keputusan tertinggi gabungan PN, termasuk menetapkan dasar, manakala Majlis Eksekutif pula akan mengurus pentadbiran selaras dengan keputusan yang dibuat.
Bagaimanapun, Tan Sri Abdul Hadi menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin dengan menegaskan hal pemansuhan jawatan Pengerusi PN tidak pernah dibincangkan dan dipersetujukan dalam pertemuan mereka pada 16 Januari lalu.
Percanggahan kenyataan ini sekali gus membuatkan banyak pihak menyifatkan Tan Sri Muhyiddin seolah-olah tamak jawatan dan kuasa.
Andaian itu tidak ditolak oleh penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, yang menegaskan kemelut jawatan Pengerusi PN ketika ini boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya wujud sikap berlapang dada dalam kalangan kepimpinan tertinggi gabungan itu, khususnya Tan Sri Muhyiddin.
Menurut beliau, berbanding kemelut politik lain termasuk seperti pertukaran Menteri Besar daripada PAS kepada Bersatu di Perlis, isu jawatan dalam PN tidak seharusnya menjadi krisis berpanjangan sekiranya peletakan jawatan Pengerusi PN ditangani secara jelas dan berprinsip.
“Selepas meletakkan jawatan, isu ini sepatutnya selesai dengan beliau memberi ruang kepada PAS. Ia tidak memerlukan liku-liku atau gerak politik yang berpanjangan seperti sekarang,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Profesor Dr Azmi berpandangan bahawa kemelut berkenaan menjadi rumit apabila isu jawatan dikaitkan dengan kepentingan peribadi dan keengganan untuk melepaskan kuasa, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan gabungan.
Keadaan itu, katanya, turut membuka ruang kepada dinamika dalaman dalam Bersatu sendiri, apabila wujud kelompok yang lebih cenderung menyokong kepimpinan PN yang selari dengan PAS demi memperkukuh gabungan tersebut.
Mengulas kemungkinan PAS menarik diri daripada PN, Profesor Dr Azmi berkata senario itu tidak semestinya berlaku, namun tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan daripada segi kepimpinan dan susunan dalaman gabungan berkenaan.
“PAS mungkin tidak keluar PN, tetapi tidak mustahil wujud usaha untuk menstruktur semula kepimpinan dengan menyingkirkan kumpulan tertentu dan memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih serasi bagi mengukuhkan PN,” katanya.
Beliau yang juga Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara memberi amaran bahawa sekiranya isu jawatan ini terus berlarutan, PN berisiko berdepan perpecahan yang lebih serius, memandangkan gabungan itu sukar berfungsi secara berkesan tanpa PAS.
“PN tanpa PAS tidak bermakna bagi Bersatu. Bersatu tidak sekuat PAS yang berkeupayaan berdiri sendiri,” katanya.
Profesor Dr Azmi menegaskan penyelesaian kepada konflik berkenaan terletak pada kesediaan kepimpinan utama untuk mengutamakan kepentingan gabungan berbanding kepentingan peribadi.
“Penyelesaian konflik ini hanya boleh dicapai jika Tan Sri Muhyiddin bersikap berjiwa besar dan sanggup melepaskan kepentingan tertentu demi memperkukuh PN,” katanya.
Pergolakan dalaman PN ini sebenarnya berakar sejak Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada September 2025, apabila Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU)16.
Krisis semakin ketara selepas pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang daripada PAS, Encik Mohd Shukri Ramli, meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada Disember 2025, dengan tempatnya kemudian diganti Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Encik Abu Bakar Hamzah.
Perkembangan itu menyebabkan PAS rasa dikhianati, sekali gus mula mendesak Tan Sri Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN atas kegagalan mengurus krisis di Perlis.
Bagi penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cik Shahidah Abdul Razak, kemelut jawatan Pengerusi PN adalah masalah yang tidak sepatutnya berlaku dan ia menunjukkan krisis kepimpinan dan komunikasi dalam gabungan itu.
Beliau berkata peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin mewujudkan kekosongan yang sukar diisi kerana tiada persefahaman jelas dalam kalangan parti komponen.
“PN berdepan cabaran penyelarasan ideologi dan struktur organisasi yang belum cukup matang untuk mengurus perbezaan pandangan,” katanya kepada BH.
Cik Shahidah menekankan bahawa Tan Sri Muhyiddin wajar berperanan sebagai penyatu dengan memberi ruang kepada kepimpinan baru yang mendapat sokongan akar umbi.
“Gabungan ini memerlukan hala tuju jelas dan beliau boleh bertindak sebagai mentor bagi memastikan kestabilan jangka panjang,” tambahnya.
Pensyarah Kanan Sains Politik itu tidak menolak kemungkinan PAS menarik diri sekiranya komunikasi dan persefahaman gagal dibina, yang berisiko melemahkan kedudukan PN sebagai gabungan Melayu terbesar di Malaysia dan menjejaskan persepsi rakyat terhadap kestabilan politik.
Walaupun PAS dilihat dominan, Cik Shahidah berkata kepimpinan PN perlu mampu menyatukan sokongan merentas kelompok.
“Jika PAS meninggalkan PN, landskap politik dijangka menyaksikan pembentukan pakatan baru, termasuk kemungkinan kerjasama dengan Umno menjelang pilihan raya akan datang.
“Ini diperkukuhkan dengan beberapa kenyataan PAS yang bersedia untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang pernah ditubuhkan bersama Umno, selain seruan penyatuan Melayu oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2025 yang lalu,” katanya.

