Bersatu Johor, pemimpin kanan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin
Bersatu Johor, pemimpin kanan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin
Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin goyah apabila beliau bukan saja digesa meletak jawatan oleh pemimpin kanannya, malah kehilangan sokongan Bersatu di negeri asalnya sendiri, Johor.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menjadi pemimpin kanan pertama yang mendesak Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai Presiden Bersatu, dengan mendakwa mantan Perdana Menteri itu gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
Beliau berkata lebih malang, Tan Sri Muhyiddin dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, daripada memimpin Bersatu pada masa depan.
“Oleh yang demikian, untuk memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.
“Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Tan Sri Muhyiddin, apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada 2008 terhadap mantan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tan Sri Muhyiddin pernah mendesak Almarhum Tun Abdullah meletak jawatan Perdana Menteri ketika itu.
Datuk Ronald yang juga Pengerusi Bersatu Sabah, berkata tindakan Lembaga Disiplin (LD) untuk menghadapkan Datuk Hamzah atas tuduhan lama dan baru jelas merupakan langkah regresif yang bertentangan dengan usaha untuk memperkukuhkan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Lebih membimbangkan, tindakan LD untuk menghadapkan Ketua-Ketua Bahagian, termasuk wakil rakyat dari Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Datuk Hamzah menunjukkan adanya penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.
“Keadaan ini telah menyebabkan Bersatu dilihat oleh rakyat semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.
“Kini, perjuangan parti seolah-olah hanya tertumpu kepada usaha untuk mengekalkan kuasa Tan Sri Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,” katanya lagi.
Dalam pada itu Berita Harian Malaysia melaporkan, Bersatu Johor yang diwakili 14 Ketua Bahagian, secara rasmi mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, berikutan kegagalannya menguruskan krisis dalaman serta penyalahgunaan prosedur disiplin terhadap pimpinan utama parti.
Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Encik Musa Khamis, berkata tindakan Lembaga Disiplin terhadap Datuk Hamzah serta beberapa Ketua Bahagian dan wakil rakyat yang menyokong beliau, dilihat lebih bersifat melindungi kuasa presiden berbanding menjaga kepentingan parti dan matlamat perjuangan Bersatu.
“Keadaan ini telah menjejaskan imej Bersatu di mata rakyat dan menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ahli akar umbi. Ia juga berpotensi meretakkan hubungan strategik dengan rakan-rakan parti dalam PN.
“Sebagai Ketua Bahagian Bersatu, saya menyeru Tan Sri Muhyiddin mempertimbangkan kepentingan Bersatu melebihi agenda peribadi,” katanya dalam kenyataan pada 10 Februari.

