PAS tak hadir pertemuan ketua parti PN di kediaman Muhyiddin
PAS tak hadir pertemuan ketua parti PN di kediaman Muhyiddin
Isu itu panjangkan persoalan mengenai kestabilan gabungan pembangkang itu
Pertemuan pemimpin parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) di kediaman mantan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada malam 29 Januari, berlangsung tanpa kehadiran pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS), sekali gus memanjangkan persoalan mengenai kestabilan gabungan pembangkang itu.
Bagaimanapun, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik P Punithan dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Encik Dominic Lau, yang menghadiri pertemuan tertutup itu menafikan ketiadaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, membawa petanda buruk buat gabungan itu.
Encik Punithan berkata pertemuan yang dinamakan mesyuarat pra-majlis bagi menggantikan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dibatalkan di saat akhir dan sepatutnya dihadiri Majlis Tertinggi PN pada malam 29 Januari, membincangkan hala tuju PN terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.
“Tiada petanda buruk. Kami mantap dan bersedia menghadapi PRU16. Kami semua dalam keadaan baik, perbincangan mengenai hala tuju PN. Kita akan bincangkan (hasil perbincangan ini dengan PAS),” katanya selepas pertemuan selama tiga jam itu.
Encik Punithan turut tidak menolak Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat, sekiranya mendapat persetujuan semua parti komponen dalam PN.
Berita Harian Malaysia (BHM) pada 30 Januari melaporkan Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Hadi, Encik Mohd Syahir Mohd Sulaiman, menjelaskan ketidakhadiran Presiden PAS itu adalah kerana perubahan jadual pada saat akhir.
Menurutnya, ia telah dimaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Ya, berlaku perubahan jadual saat akhir pada pihak Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi). Pandangan Tuan Guru juga sudah disampaikan secara bersurat kepada semua Presiden parti anggota PN,” katanya.
BHM turut melaporkan PAS dijangka membincangkan serta menetapkan pendirian parti itu mengenai hasil pertemuan dalam Majlis Presiden pada 16 Januari lalu (2025), pada program pemukiman pimpinan parti itu yang bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari.
Menurut sumber parti, program yang dijadualkan dihadiri pimpinan utama PAS itu akan meneliti hasil daripada perbincangan dalam Majlis Presiden PN, termasuk cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi PN serta hala tuju kerjasama parti Islam itu dengan rakan komponennya dalam PN selepas ini.
Sebelum ini, Tan Sri Abdul Hadi dan Tan Sri Muhyiddin bercanggah kenyataan mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
Ini selepas Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, mendakwa PAS bersetuju supaya jawatan tertinggi dalam gabungan itu dimansuhkan, namun ia telah dinafikan Tan Sri Abdul Hadi.
Kenyataan itu bercanggah dengan kesediaan PAS untuk mengambil alih kepimpinan PN, dengan mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk memuktamadkan pengganti Tan Sri Muhyiddin yang sepatutnya berlangsung pada 29 Januari dibatalkan dan diganti mesyuarat pramajlis itu.

