Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN N. Sembilan: PAS sokong Menteri Besar dari Umno jika kerjasama 2 parti dimuktamad
PRN N. Sembilan: PAS sokong Menteri Besar dari Umno jika kerjasama 2 parti dimuktamad
PRN N. Sembilan: PAS sokong Menteri Besar dari Umno jika kerjasama 2 parti dimuktamad
SEREMBAN: Selepas mengambil pendekatan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Parti Islam SeMalaysia (PAS) kini bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Umno, sekiranya kerjasama antara kededua parti dapat dimuktamadkan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata rundingan berkaitan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan yang akan ditandingi antara kededua pihak sedang berlangsung dan disifatkan sangat positif.
“Ya, kita sedang usahakan kerjasama (dengan Umno/BN). Hasil perbincangan sangat positif. Kita terima hakikat bahawa Negeri Sembilan didominasi Umno.
“Dia (Umno) pimpin (menjadi Menteri Besar),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perdana PAS Negeri Sembilan di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, pada 12 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas lanjut, Tan Sri Abdul Hadi berkata antara perkara yang sedang dibincangkan ialah Umno mengekalkan 14 kerusi yang disandangnya, manakala PAS pula mengekalkan tiga kerusi sedia ada.
Ahli Parlimen Marang (Terengganu) itu berkata dua kerusi yang sebelum ini dimiliki Bersatu akan dibincangkan sama ada untuk ditandingi PAS atau Umno berdasarkan kesesuaian.
“Manakala 17 kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH) akan diagihkan antara parti-parti yang bekerjasama termasuk Umno, PAS, MCA (Parti Cina Malaysia), MIC (Kongres India Malaysia) dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) mengikut kewajaran.
“Setakat ini rundingan berjalan dengan baik dan tiada masalah. Yang penting, orang Melayu dan Islam mesti memimpin Negeri Sembilan, seperti juga di Johor,” katanya.
Tan Sri Abdul Hadi turut memaklumkan PAS masih belum membuat keputusan sama ada akan menggunakan logo PN atau logo parti itu sendiri pada PRN Negeri Sembilan.
“Kita sedang bincang dan teliti. Keputusan muktamad akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu pada malam Khamis (16 Julai) ini,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS akan menggunakan pendekatan berbeza pada PRN Negeri Sembilan berbanding PRN Johor dalam usaha menarik sokongan pengundi dan memenangi sebanyak mungkin kerusi.
“Kita mahu memastikan kuasa Melayu dan Islam menguasai pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Pada PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN. PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.
Bagaimanapun, pada PRN kali ini, PH dan BN masing-masing bergerak secara berasingan apabila kededuanya bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
