Topic followed successfully
Go to BHkuBiro Agama PKR bidas Presiden PAS cuba keliru rakyat isu harga minyak
Biro Agama PKR bidas Presiden PAS cuba keliru rakyat isu harga minyak
Tolak gambaran kenaikan harga minyak hasil kegagalan pengurusan kerajaan
Biro Agama PKR bidas Presiden PAS cuba keliru rakyat isu harga minyak
KUALA LUMPUR: Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai hidup dalam fantasi dan sengaja cuba mengelirukan masyarakat berhubung punca sebenar kenaikan harga minyak dunia.
Pengerusi Biro itu, Encik Amidi Abdul Manan, berkata dakwaan Tan Sri Abdul Hadi bahawa kerajaan tiada sebab untuk menaikkan harga minyak hanya kerana kapal Malaysia tidak disekat di Selat Hormuz adalah satu logik yang tersasar.
Beliau menjelaskan faktor utama lonjakan harga minyak di pasaran sejagat ketika ini disebabkan gangguan laluan perkapalan oleh tindakan Iran, selain faktor imbangan bekalan dan permintaan.
Jelas Encik Amidi, walaupun Selat Hormuz menjadi laluan bagi 20 peratus bekalan minyak dunia, baki 80 peratus lagi yang melalui laluan lain tetap mengalami kenaikan harga yang mendadak.
“Ia secara jelas terkait dengan jumlah bekalan dihasilkan oleh negara pengeluar serta kos operasi yang meningkat.
“Laporan media menunjukkan terdapat penurunan sehingga 30 peratus pengeluaran minyak oleh negara-negara Teluk, yang memberikan kesan signifikan terhadap bekalan dunia. Situasi inilah yang sebenarnya menaikkan harga minyak,” katanya dalam kenyataan pada 8 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Amidi turut mempersoalkan sama ada kekeliruan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen (AP) Marang (Terengganu) itu dilakukan secara sengaja atau tanpa sedar.
Dalam pada itu, Encik Amidi memetik tuntutan ayat 42, Surah Al-Baqarah yang melarang perbuatan mencampuradukkan perkara benar dengan yang salah, atau menyembunyikan kebenaran.
Beliau berkata kegagalan memahami realiti ekonomi dunia hanya akan mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan rakyat.
“Tan Sri Abdul Hadi cuba memberikan gambaran kenaikan harga minyak adalah hasil kegagalan pengurusan kerajaan.
“Tindakan ini akhirnya akan menyemarakkan kebencian dan kemarahan yang boleh menggugat kestabilan politik negara, yang mana ia hanya akan menguntungkan politik sempit PAS,” katanya lagi.
Tan Sri Abdul Hadi dalam satu kenyataan panjang lebar pada 8 April, dilaporkan berkata ketika kebimbangan terhadap bekalan minyak serta harganya yang kekal tinggi, beliau berpendapat tidak ada sebab mengapa keadaan itu berlaku di Malaysia.
Pemimpin PAS itu berkata hal itu kerana Malaysia tidak termasuk sebagai salah sebuah negara yang disekat oleh Iran di Selat Hormuz.
Kata Tan Sri Abdul Hadi, Teheran menghargai Malaysia kerana ramai rakyat negara ini yang berani enggan berpihak kepada kerajaan yang takut kepada Washington dan Israel, dan pada masa sama memiliki telaga minyak dan gas sendiri.

