Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

22 pemimpin, pengikut Global Ikhwan didakwa jadi anggota kumpulan jenayah

CEO, isteri dan anak Abuya pengasas Al-Arqam antara tertuduh; polis masih siasat lebih 30 anggota
Oct 23, 2024 | 3:29 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali (tiga dari kanan), bersama 21 pengikut kumpulan itu, termasuk isterinya dan anak lelaki pengasas Al-Arqam, didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, pada 23 Oktober.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali (tiga dari kanan), bersama 21 pengikut kumpulan itu, termasuk isterinya dan anak lelaki pengasas Al-Arqam, didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, pada 23 Oktober. - Foto BERNAMA

SELAYANG (Selangor): Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, dan isterinya, Azura Md Yusof, merupakan antara 22 individu dituduh menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, pada 23 Oktober.

Turut dituduh ialah anak pengasas kumpulan Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Nasiruddin serta 21 tertuduh yang lain hanya mengangguk faham tuduhan dibacakan oleh jurubahasa di depan Hakim Lailatul Zuraida Harron@Harun, lapor Berita Harian Malaysia.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes membabitkan Akta Sosma adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan, iaitu menjadi anggota kumpulan jenayah terancang pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024 di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara lima dengan 20 tahun.

Ketika tuduhan dibacakan, prosiding mahkamah berhenti seketika apabila seorang tertuduh, Siti Salmiah, tersedak.

Peguam yang mengetuai barisan pembelaan mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, menjelaskan anak guamnya menghidap semput dan memohon arahan mahkamah supaya tertuduh diberikan rawatan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Sejurus selepas tuduhan dibacakan, Hakim Lailatul Zuraida, mengarahkan semua tertuduh diberi rawatan perubatan sewajarnya jika diperlukan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Disember sebagai hari sebutan semula kes bagi pemindahan prosiding ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Datuk Rosli turut memaklumkan semua tertuduh akan memfailkan perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sehingga kini, mereka hanya didakwa atas satu tuduhan, iaitu terbabit dengan jenayah terancang. Kita tidak tahu jika masih ada siasatan tambahan dan arahan untuk mendakwa lagi selepas ini,” katanya.

Datuk Rosli berkata lima hingga enam anak guamnya mempunyai masalah kesihatan, termasuk Nasiruddin, 65 tahun, yang menghidap kencing manis.

Sementara itu Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan pada 22 Oktober bahawa polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap lebih 30 lagi anggota GISBH yang ditahan di bawah Sosma dan belum dituduh di mahkamah.

Mulai 11 September, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan ‘Op Global’ di Selangor dan Negeri Sembilan dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak serta remaja di puluhan rumah amal kendalian GISBH yang menjadi mangsa eksploitasi, serangan seksual dan penderaan.

Ia membawa kepada siasatan terperinci polis terhadap GISBH, yang kemudian membongkar pelbagai salah laku kumpulan perniagaan itu termasuk dikatakan masih mengamalkan ajaran tarekat Al-Arqam yang difatwakan sesat pada 1994, penghambaan pekerja, penyelewengan dana awam dan pengubahan wang haram.

Menyusuli itu, pihak berkuasa menangkap pemimpin dan pengikut GISBH.

Siasatan meluas terhadap GISBH kemudian membawa kepada penangkapan semula 58 anggota GISBH, termasuk 16 pimpinan kumpulan itu, di bawah Akta Sosma.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg