KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 melakar pencapaian penting pada Sidang Puncak Asean ke-46, melalui pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur Asean 2045: Our Shared Future (Masa Depan Bersama) yang menjadi visi strategik jangka panjang bagi memacu komuniti Asean secara menyeluruh.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata deklarasi itu membawa hala tuju baru Asean pasca 2025, merangkumi empat tonggak utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan.
“Dokumen ini adalah kesinambungan Asean 2025: Forging Ahead Together (Maju Bersama) yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia pada 2015. Ia menekankan pertumbuhan adil, penyertaan yang terangkum serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi dan tekanan geopolitik.
“Ia satu dokumen penting yang menandakan iltizam seluruh rantau untuk membina Asean yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.
“Di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025, kita tampil dengan wawasan yang bukan saja menyatukan rantau ini, malah meletakkan Asean sebagai pemacu utama perubahan global berlandaskan nilai dan kekuatan serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Mei, lapor Kosmo!.
Hari terakhir Sidang Puncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur pada 27 Mei juga menyaksikan penganjuran dua mesyuarat penting peringkat tertinggi, iaitu Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang julung kali diadakan.
Ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak Asean-GCC Ke-2 pada 27 Mei, Datuk Anwar berkata Asean bersama GCC mempunyai keupayaan serta tanggungjawab untuk bangkit sebagai tunjang kestabilan dan pemangkin pertumbuhan masa depan.
Katanya ia mengambil kira status Asean sebagai rantau yang paling aman dan berkembang pesat daripada segi ekonomi serta dinamik, sementara GCC melaksanakan anjakan paradigma, daripada budaya padang pasir yang kelam kepada wilayah yang kini dinamik, penuh potensi dan maju dari segi ekonomi, dengan penguasaan teknologi terkini.
“Tema Asean di bawah kepengerusian Malaysia iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ mencerminkan aspirasi untuk pertumbuhan yang adil, berfokuskan rakyat dan berwawasan, selari nilai yang dikongsi bersama Asean dan GCC, iaitu kestabilan melalui perpaduan, kemakmuran melalui kerjasama dan ketahanan melalui tanggungjawab bersama.
“Perbincangan kita pada hari ini amat penting untuk memastikan kerjasama ini kekal dinamik, responsif dan memberikan impak yang bermakna,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut Presiden Majlis Tertinggi GCC yang juga Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah, potensi perdagangan antara GCC dan Asean dijangka melonjak 30 peratus kepada A$180 bilion ($230.3 bilion) menjelang 2032, berbanding A$130.7 bilion pada 2024.
Sheikh Sabah berkata potensi itu berdasarkan peningkatan pelaburan di pasaran Asia, mencerminkan keyakinan bersama dan integrasi ekonomi yang semakin mendalam.
Inisiatif ulung Malaysia mengorak penganjuran Sidang Kemuncak Asean-GCC-China juga memperkukuh usaha dalam kerjasama tiga hala antara Asean, GCC dengan China, yang menjadi titik penting dalam landskap kerjasama serantau dan antarabangsa yang mempertemukan tiga blok utama dunia.
Turut berlangsung pada hari kedua Sidang Puncak Asean ke-46 ini ialah Persidangan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16.
Dalam ucapan pembukaan persidangan itu, Datuk Anwar menekankan keperluan mempercepat integrasi ekonomi, memudah cara perdagangan rentas sempadan dan membina rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara yang mesti disokong penyelesaian digital yang inklusif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg