Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua pemimpin PH Melaka saman Kerajaan Negeri berhubung Adun lantikan
Dakwa tindakan kerajaan negeri hakis hak demokrasi pengundi apabila kedudukan Adun lantikan boleh diisi tanpa melalui pilihan raya
Dua pemimpin PH Melaka saman Kerajaan Negeri berhubung Adun lantikan
KUALA LUMPUR: Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka mengemukakan saman terhadap Kerajaan Negeri bagi mencabar kelulusan berkaitan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) secara lantikan, pada 14 Julai lalu.
Saman berkenaan dikemukakan dua plaintif iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, atas kapasiti sebagai pengundi berdaftar di Melaka, dan Pengerusi PH Melaka yang juga Adun Bukit Katil, Melaka, Encik Adly Zahari, manakala Kerajaan Negeri Melaka dinamakan sebagai defendan.
Notis saman tersebut diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri pada 12 Oktober selepas ia difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka pada 8 Oktober.
Ketika ditemui media, Encik Khoo berkata tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 (Enakmen A44) itu yang diwartakan pada 27 Ogos lalu adalah tidak berperlembagaan.
Ini, katanya, kerana ia didapati bercanggah dengan Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Seksyen 4(1), Bahagian I, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
“... dan oleh itu (ia) adalah batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dalam laporan di portal berita, Malaysiakini.
Encik Khoo turut mendakwa tindakan DUN Melaka meluluskan enakmen tersebut juga menghakis hak demokrasi pengundi apabila kedudukan Adun lantikan tersebut boleh diisi tanpa melalui pilihan raya.
“Hanya Ketua Menteri sahaja yang akan buat keputusan siapa yang boleh jadi Adun lantikan dan bila-bila masa selepas lantikan tersebut, Ketua Menteri boleh lucutkan kelayakan Adun lantikan tersebut.
“Jadi kita lihat perkara ini menghakis hak demokrasi kita, hak rakyat, hak pengundi... ia bercanggah dengan demokrasi,” katanya.
Pada 14 Julai lalu, DUN Melaka meluluskan pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh Adun lantikan.
Rang undang-undang berkenaan diluluskan selepas memperoleh sokongan 23 Adun, manakala lima lagi tidak menyokong.
Dalam pada itu di Melaka, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, mempersoalkan tindakan Encik Adly memfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri berhubung pindaan enakmen berkaitan Adun lantikan itu.
Dr Akmal berkata sebelum ini Encik Adly sendiri yang mencadangkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk mewujudkan Adun lantikan.
“Kenapa ya YB (Yang Berhormat)? YB yang mencadangkan untuk mewujudkan Adun lantikan, siap letak dalam hantaran dan sebagainya, dah keluar berita dan sebagainya.
“Tetapi bila DAP (Parti Tindakan Demokratik) berdehem sedikit saja YB terus pusing kata tak setuju,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 13 Oktober.