Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Dulu selalu termenung tunggu pelanggan, sekarang tak sempat nak rehat’

Peniaga adik-beradik warga emas alami kejutan ekoran lonjakan pelanggan sejak kisah kesukaran niaga mereka tular di media sosial
Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Pasangan adik beradik warga emas, Encik Idris Latif, 75 tahun (tengah), dan kakaknya, Cik Roshi, 79 tahun, bersama seorang pelanggan setia sejak puluhan tahun lalu, Encik Aziz Mohd, 46 tahun.
Pasangan adik beradik warga emas, Encik Idris Latif, 75 tahun (tengah), dan kakaknya, Cik Roshi, 79 tahun, bersama seorang pelanggan setia sejak puluhan tahun lalu, Encik Aziz Mohd, 46 tahun. - Foto-foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Maaf dik dah habis... alahai maaf nak dah habis... minta maaf encik nasi dah habis”.

Begitulah antara dialog yang tidak kurang 30 kali saya dengar sepanjang kira-kira tiga jam berada di gerai makan pasangan adik beradik, Encik Idris Latif, 75 tahun, dan kakaknya, Cik Roshi, 79 tahun, yang terletak di Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dekat Kampung Baru di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Warga emas yang berniaga makanan panas antaranya nasi goreng ayam, nasi goreng kampung, mi goreng, mi bandung dan yang paling popular, nasi goreng cendawan ayam, mengalami kejutan ekoran lonjakan pelanggan sejak kisah mereka berniaga tular di media sosial.

Semuanya bermula selepas seorang pengguna media sosial memuat turun video mengajak orang ramai menyokong perniagaan Encik Idris dan kakaknya yang berdepan fasa sukar, kerana jumlah pelanggan merosot terutama sejak pandemik Covid-19 pada 2020.

Video berkenaan menarik perhatian pengguna media sosial yang prihatin dengan nasib adik-beradik itu yang masih gigih berniaga mencari rezeki walaupun dengan pelbagai cabaran dan kekurangan.

Lantas, sejak tular, rutin Encik Idris dan Cik Roshi yang sejak beberapa tahun lalu agak sunyi, kini semakin sibuk dan tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah syukur sangat sebab dah lama tak rasa berniaga (meriah) macam ini. Sudah tua ini baru merasa penangan viral (tular).

“Sejak selepas Covid-19, gerai ini sunyi daripada pelanggan, tetapi tak sangka pertolongan Allah datangkan seorang hamba yang menyebabkan kisah kami berniaga tular, membawakan rezeki tidak putus-putus,” katanya ketika ditemui wartawan Berita Minggu (BM) di gerainya.

Kata Encik Idris, yang sudah 30 tahun berniaga makanan di medan selera itu, sebelum tular barangan jualan yang sekadar dua kilogram beras yang dimasak dan dua ekor ayam pun tidak habis dijual.

“Tapi sekarang Alhamdulillah, 10 kilogram beras habis dalam sehari dan ayam pun hampir 10 ekor sehari. Sekarang memang penat, tapi penat yang berbaloi.

“Sebelum ini sampai 6 petang duduk termenung di gerai tunggu pelanggan datang, sekarang tak sempat nak berehat, 1 petang pun sudah habis makanan terjual,” kongsinya.

Mungkin bagi peniaga lain jumlah itu begitu kecil, sebaliknya bagi adik-beradik ini ia sudah di luar sasaran.

Dalam kegembiraan dengan sambutan pelanggan kebelakangan ini, mereka juga tidak menafikan dihimpit rasa kecewa apabila tidak dapat menunaikan hajat pelanggan, terutama yang sanggup menempuh perjalanan beratus kilometer dari utara, timur dan selatan, semata-mata dengan niat untuk makan di gerai dan membantu pasangan warga emas itu.

“Ada yang datang dari Terengganu dan Kelantan, dari Kedah dan Pulau Pinang untuk makan di sini, tetapi selalunya sudah habis awal.

“Kecewa dan sedih juga tapi apa boleh buat, tenaga kami berdua hanya mampu untuk berjualan sebanyak itu saja. Nak buat lebih takut tak terbawa dek badan,” kata Cik Roshi sambil mengesat air mata.

Jika dilihat pada fizikal mereka pada usia sedemikian, Encik Idris sudah sedikit membongkok, namun masih ligat melakukan kerja dan laju berjalan.

Cik Roshi pula sudah mengalami sakit lutut. Selepas duduk, agak perlahan bagi beliau untuk mula menggerakkan badannya.

Benar, bukan mereka saja warga emas yang masih aktif mencari rezeki seperti berniaga, namun setiap orang ada ceritanya tersendiri.

Bagi Encik Idris dan Cik Roshi, yang pernah mengalami keadaan tiada pendapatan dan bahan jualan tidak berusik kerana tiada pelanggan, tidak sedikit pun patah semangat untuk terus berniaga. Ini sedangkan kebanyakan warga pada usia mereka banyak yang sudah berehat di rumah sahaja kerana batasan kudrat dan kesihatan.

“Ini punca pendapatan kami, kalau tak berniaga tak ada wang. Walaupun pernah jualan tak laku sebelum ini, kami bersyukur saja dan teruskan berniaga. Mungkin rezeki hari ini adalah berkat sabar selama ini,” kata Encik Idris yang berasal dari Pulau Pinang.

Kededua mereka tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai zuriat, justeru hanya mereka berdua berjanji akan terus saling menjaga sehingga akhir nyawa, selain menumpang kasih anak-anak saudara yang begitu prihatin akan kebajikan diri mereka.

Mereka juga tiada kenderaan dan bergerak menggunakan pengangkutan awam setiap hari dari kediaman di Ampang, Selangor, ke medan selera itu yang mengambil masa perjalanan lebih satu jam menaiki teksi, bas dan tren.

“Seawal 5 pagi sudah keluar rumah. Selepas tiba di kedai bermulalah tugas kami menyiapkan bahan jualan. Mak cik memang tugas memasak, pak cik pula ambil pesanan dan buat minuman,” kata Cik Roshi.

Pelanggan, Encik Aziz Mohd, 46 tahun, berkata beliau sudah makan di gerai Encik Idris dan Cik Roshi sejak belajar di kolej berhampiran dan pasangan warga emas itu sering memberi jumlah makanan yang banyak.

“Makan minum kami banyak dibantu oleh mak cik dan pak cik. Kami belajar dapat elaun tak banyak, jadi kalau beli nasi goreng kami beli boleh kongsi dua tiga orang makan.

“Sampai sekarang saya masih makan di sini,” kata Encik Aziz yang kini bertugas sebagai jurumakmal di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, kepada BM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg