Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi hitam M’sia jadi iktibar perbaiki aspek keselamatan

Harapan 2025 agar serangan pengganas seperti di Ulu Tiram; nahas helikopter TLDM tidak berulang
Jan 2, 2025 | 5:30 AM
Tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara sebelum terhempas sehingga mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM pada 23 April 2024 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, akan kekal dalam lipatan sejarah hitam Malaysia.
Tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara sebelum terhempas sehingga mengorbankan 10 anggota dan pegawai TLDM pada 23 April 2024 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, akan kekal dalam lipatan sejarah hitam Malaysia. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Malaysia pasti tidak akan melupakan dua tragedi hitam pada 2024 yang mengorbankan 12 perwira muda negara pada April dan Mei lalu.

Nahas dua helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, pada 23 April 2024, meragut 10 nyawa anggota dan pegawai TLDM cukup meruntun hati.

Belum pun reda daripada kesedihan itu, tidak sampai sebulan, rakyat Malaysia kembali direnggut berita duka tragedi serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei 2024, yang mengorbankan dua anggota polis dan turut menyebabkan seorang lagi cedera.

Kededua berita itu yang masing-masing berlaku pada Ramadan dan Syawal, benar-benar menggoncang emosi ramai dan meninggalkan kesan mendalam, selain turut mendapat perhatian dan liputan media antarabangsa yang melaporkan kejadian dengan terperinci.

Nahas udara yang membabitkan helikopter milik TLDM iaitu Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dengan tujuh kru terkorban dan tiga kru Fennec TLDM, adalah antara tragedi terburuk dalam sejarah Malaysia dalam tempoh sembilan tahun dan yang kelapan seumpamanya berlaku di Malaysia.

Pada 5 Mei 2016, sebuah Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak, yang mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu, Tan Sri Noriah Kasnon, dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Mengikut rekod, kejadian terburuk membabitkan nahas jentera udara yang pernah berlaku sebelum ini ialah tragedi membabitkan Helikopter jenis Sikorsky S-61A-4 (Nuri) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Gunung Gerah, di sempadan Kelantan-Perak, mengakibatkan 21 maut pada November 1989.

Dalam tragedi kira-kira 9.32 pagi 23 April 2024, 10 anggota dan pegawai TLDM terbabit sedang menjalani latihan untuk persembahan udara sempena menyambut ulang tahun ke-90 TLDM.

Namun, sambutan itu yang sepatutnya berlangsung pada 26 April dibatalkan dengan perkenan Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM, bagi menghormati kedukaan keluarga mangsa yang turut memberi kesan besar kepada TLDM sebagai antara pasukan pertahanan laut Malaysia.

Laporan akhir Lembaga Siasatan berkait nahas itu yang dikeluarkan pada 30 Mei mendedahkan kejadian malang itu berlaku apabila dua helikopter TLDM berkenaan bergesel sebelum terhempas ketika latihan.

Kejadian berpunca daripada salah sebuah helikopter iaitu Fennec, yang tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan ketika formasi penerbangan dalam latihan lintas hormat dan turut memperlihatkan titik impak nahas kededua pesawat itu ketika bertembung.

Laporan itu juga mengesahkan dua helikopter berada dalam keadaan layak terbang (airworthy) atau dibenarkan melakukan penerbangan dengan tahap kesihatan semua kru berada pada tahap terbaik untuk mengendalikan pesawat.

Malah, laporan autopsi menunjukkan tiada unsur ‘hypoglycemia’ dan ‘fatigue’ serta tiada penggunaan bahan terlarang pada semua kru udara terlibat.

Sementara itu, tragedi serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pula bukan saja meninggalkan episod duka buat Malaysia, tetapi juga mencetuskan kebimbangan ramai termasuk daripada masyarakat negara Singapura dan Indonesia dalam aspek keselamatan terutama serangan pengganas dan sebaran ideologi pengganasan seperti ISIS.

Ini berikutan siasatan awal polis mendapati penyerang iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan lima ahli keluarganya termasuk ibunya warga Singapura, bapa dan empat lagi adik beradik suspek telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menyebarkan unsur fahaman pengganas, menanam fahaman ideologi pengganasan berkaitan ISIS, menyokong kumpulan pengganasan dan memiliki senjata api.

Ia berdasarkan penemuan pelbagai risalah dan bahan bukti yang mengaitkan serangan itu dengan ideologi ISIS.

Walaupun dinafikan oleh kerajaan Malaysia yang menyifatkan serangan itu bersifat tindakan bersendirian atau lone wolf, penularan ideologi itu tetap tidak boleh dinafikan dengan pihak berkuasa meningkatkan aspek keselamatan Malaysia.

Maka selain Malaysia, Singapura dan Indonesia turut memperketatkan kawalan keselamatan masing-masing dan mengeluarkan nasihat perjalanan ke Malaysia susulan kejadian itu.

Antara tindakan pengukuhan yang diambil ialah meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup serta lampu limpah bagi paramater kawasan tertentu di dalam Balai Polis di seluruh Malaysia.

Malah kejadian itu turut membawa kepada peraturan baru operasi Balai Polis dengan pintu pagar balai ditutup selepas 10 malam, namun balai masih beroperasi seperti biasa.

Menyusuli insiden yang menggemparkan itu, sepasukan wartawan Berita Harian sempat meninjau ke lokasi perkampungan yang menjadi penempatan penyerang dan keluarganya.

Tinjauannya ke tanah persendirian di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, pada Jun 2024, mendapati kawasan itu sepi dan lengang tanpa sebarang kegiatan yang mencetus kebimbangan masyarakat.

Madrasah Luqmanul Hakim yang terletak berhampiran kediaman keluarga penyerang juga pernah menjadi tempat menyemai fahaman militan, ekstremisme dan ‘medan usrah’ anggota kumpulan pengganas sekitar lewat 1990-an, namun telah ditutup oleh pihak berkuasa Malaysia pada 2021.

Penyerang yang berjaya ditembak mati dalam kejadian itu pula dikebumikan dengan kuburnya diletakkan berasingan daripada pusara lain di tanah perkuburan dekat Ulu Tiram.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek dengan kubur lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.

Sehingga kini, tindakan undang-undang terhadap lima ahli keluarga penyerang masih berjalan di mahkamah.

Semoga episod malang dalam lipatan sejarah Malaysia ini terus menjadi sejarah dan tiada lagi insiden kejam seumpamanya berulang pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg