KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih kukuh dan berdaya tahan walaupun persekitaran sejagat serba mencabar ketika ini.

Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pertumbuhan Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) negara pada suku pertama 2026 berkembang sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Menurut beliau, inflasi kekal terkawal pada kadar 2.0 peratus pada Mei 2026, berbanding 1.9 peratus pada April 2026, bahkan prestasi perdagangan luar turut menyokong daya tahan ekonomi.

“Jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion ($250.7 bilion). Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama 2026 pula berjumlah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.

“Prestasi ini menyumbang kepada lebihan imbangan akaun semasa sebanyak RM15.2 bilion atau 3.1 peratus kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK),” katanya dalam penerangan kepada Ahli Dewan Rakyat berkenaan krisis bekalan sejagat di Parlimen pada 29 Jun, lapor Kosmo!.

Encik Akmal Nasrullah berkata Malaysia juga terus mencatat keyakinan pelabur dengan pada suku pertama 2026, negara merekodkan RM92.8 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 1,249 projek dan dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu.

“Penganalisis dunia juga mengiktiraf kedudukan Malaysia.

“Namun, bagi kerajaan, ukuran yang lebih penting ialah rakyat biasa masih dapat bekalan minyak di stesen minyak, mendapatkan barangan keperluan di rak kedai, meneruskan pekerjaan dan menerima bantuan apabila diperlukan.

“Itulah maksud sebenar daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Encik Akmal Nasrullah berkata kos baja dan makanan, masing-masing diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus dan kira-kira 8 peratus susulan krisis Timur Tengah.

Beliau berkata penilaian itu dibuat dengan mengambil kira 63 peratus keperluan baja negara bergantung kepada sumber import.

Selain itu, katanya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula lebih terdedah kepada tekanan kerana ruang kewangan terhad berbanding firma besar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen (AP) Johor Bahru berkata aliran tunai PMKS diunjurkan lebih cepat terjejas apabila kos meningkat secara mendadak.

“Justeru, kerajaan memberi perhatian khusus kepada keterjaminan bekalan barangan keperluan, kawalan harga barangan asas dan peningkatan kecekapan saluran pengedaran bagi mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat.

“Risiko pekerjaan juga dipantau rapi. Tekanan kepada pasaran buruh bukan hanya berpunca akibat kenaikan harga, tetapi didorong permintaan global lebih perlahan, kelemahan pasaran eksport dan tekanan kepada operasi perniagaan.

“Namun, risiko itu masih rendah untuk Malaysia memandangkan prestasi penyertaan tenaga buruh masih stabil walaupun terdapat sedikit peningkatan kadar pengangguran iaitu 2.9 peratus pada April 2026, kepada tiga peratus pada Mei lalu,” katanya.