ALOR GAJAH (Melaka): Seorang pemandu kereta sewa privet (e-hailing) wanita cedera selepas dijerut dan dipukul empat remaja, termasuk dua remaja perempuan, yang didakwa tidak mempunyai wang untuk membayar tambang dalam kejadian di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka, pada 14 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 41 tahun itu mengalami lebam dan bengkak pada beberapa bahagian badan, dipercayai akibat dipukul dengan batang besi, selain kesan jerutan di leher selepas diserang suspek remaja berusia antara 14 dengan 17 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar, berkata berdasarkan laporan dibuat, mangsa mengambil kesemua suspek menerusi tempahan Grab di kawasan Bukit Rambai untuk dihantar ke pekan Kuala Sungai Baru.

Beliau berkata suspek terdiri daripada dua remaja lelaki, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, serta dua remaja perempuan berusia 14 tahun.

“Setibanya di kawasan berhampiran hutan di Kuala Sungai Baru, salah seorang suspek meminta mangsa memberhentikan kenderaan dengan alasan mahu mencari seseorang, selain mendakwa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran dalam talian.

“Selang beberapa minit, tiga daripada suspek, iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan dua remaja perempuan, tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang mangsa,” katanya, lapor Kosmo!.

Menurut Encik Ahmad, berdasarkan keterangan mangsa, suspek lelaki telah menjerut leher wanita itu dari belakang, manakala dua remaja perempuan terbabit memukul mangsa menggunakan batang besi serta menarik rambutnya.

“Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak meminta pertolongan. Seorang lagi remaja lelaki, bagaimanapun, tidak masuk ke dalam kereta kerana telah melarikan diri dari kawasan kejadian.

“Mangsa kemudian berjaya meloloskan diri dengan memandu keluar dari tempat kejadian, sebelum membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital,” ujarnya.

Tambah Encik Ahmad, mangsa disahkan mengalami kecederaan pada bahagian hidung, leher dan kedua-dua belah tangan akibat pergelutan dengan suspek.

Menurut beliau, siasatan lanjut turut mendapati sepanjang perjalanan, kenderaan itu telah berhenti sebanyak dua kali, dengan suspek mengarahkan laluan sama dilalui berulang kali.

Katanya lagi, kesemua suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.