Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban menyimpan makna pengorbanan tersendiri buat seorang remaja, Muhammad Syukur Khamis, 19 tahun.
Pernah terkenal dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’, Muhammad Syukur dari Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu, Terengganu, dikenali ramai sejak beberapa tahun lalu sebagai penternak kerbau dan lembu yang mempunyai kebolehan luar biasa.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu diberi gelaran ‘Mowgli Malaysia’ lantaran keakrabannya dengan haiwan, berbeza daripada penternak lain.
Mowgli ialah watak dongeng dalam filem animasi The Jungle Book. Kisah berlatarbelakangkan negara India itu memaparkan seorang budak yang sangat akrab dengan haiwan.
Muhammad Syukur mempunyai keunikan tersendiri, dengan ratusan ternakan kerbau dan lembu itu umpama sahabat baik dan rakan permainan, begitu manja dan rapat, selain kebolehannya menjinakkan haiwan peliharaan begitu luar biasa.
Beliau dilihat sebagai satu dalam sejuta kerana begitu menyayangi haiwan dan mampu mengendalikan ratusan ekor ternakan dengan keupayaan ‘berkomunikasi’ dengan haiwan yang sukar ditemui pada penternak lain.
Disebabkan itu juga, pada setiap Aidiladha, antara perkara yang paling mengesankan ialah apabila melihat seekor demi seekor kerbau atau lembu peliharaan bapanya dijual kepada pelanggan untuk ibadah korban.
Menurut Muhammad Syukur beliau tidak akan dan tidak pernah makan daging haiwan peliharaannya yang disembelih untuk korban atau kenduri, lantaran rasa sayang yang menebal terhadap ternakan itu.
“Setiap kali pelanggan datang untuk beli lembu atau kerbau, saya akan rasa kehilangan. Kalau haiwan ternakan ini akan dikorbankan, saya hanya mampu melihat dari jauh.
“Saya reda. Cuma akan terbawa-bawa rasa kekurangan dan rindu. Saya anggap itu pengorbanan.”
Kata Muhammad Syukur, sejak berusia enam tahun, beliau sudah terbiasa mengikut bapanya, Encik Khamis Jusoh, 67 tahun, ke kandang ternakan, menyebabkan hubungannya dengan haiwan itu sangat akrab.
Bapa Muhammad Syukur memang mengusahakan aktiviti ternakan yang menjadi perniagaan warisan keluarga itu sejak lebih 50 tahun lalu.
Namun katanya pada 2024, permintaan terhadap kerbau untuk dijadikan korban agak kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Dulu jumlah ternakan kerbau yang ada di kandang ratusan ekor, tetapi sejak ada yang diserang penyakit hawar berdarah pada 2020, kini tinggal sekitar 70 ekor.
“Ketika itu 57 kerbau peliharaan mati akibat penyakit itu dan saya sangat sugul melihat seekor demi seekor menggelupur dan rebah akibat wabak itu. Paling menyedihkan, dua ekor kerbau kesayangan saya yang diberi nama Semek dan Tongkol turut mati.
“Seminggu saya tidak ke sekolah sehingga pihak sekolah datang ke rumah untuk meredakan trauma yang saya alami,” katanya.
Kelebihan Muhammad Syukur berinteraksi dan bermesra dengan haiwan ternakan sehingga boleh tidur bersama turut pernah mendapat perhatian media antarabangsa dan itulah yang menjadi titik tolak populariti beliau sebagai penternak unik.
Ramai jurugambar profesional tempatan dan terkenal dunia pernah merakamkan gambarnya bersama haiwan peliharaan, sehingga foto-foto itu tular dan ada yang memenangi anugerah di pentas antarabangsa dalam pertandingan fotografi sejak 2019.
Walaupun Muhammad Syukur tidak pernah menetapkan sebarang bayaran untuk momen mesranya bersama haiwan peliharaan dirakam, beliau gembira kerana tetap memperoleh duit poket daripada hasil itu.
Gambar beliau bersama kerbau peliharaannya pernah dua kali terpilih untuk ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akedemi Camarena (CAPA) India pada 2019.
Nama jurugambar tempatan seperti Encik Abdullah Dean Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Dallah Deen dan Encik Nazri Sulaiman antara yang berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa hasil karya remaja itu bersama ternakannya.
Populariti Muhammad Syukur juga tidak berkisar di media sosial saja, malah telah membawanya ke satu tahap yang tidak pernah disangka, iaitu bergelar pelakon.
Menerusi watak utama, Muhammad Syukur berpeluang menonjolkan bakatnya dalam telefilem bertajuk Raya Di Hujung Tanduk sempena Aidilfitri dan Budak Kuba (Budak Kerbau) pada 2019.
Biarpun tempias populariti itu semakin menyusut kini ekoran beliau juga semakin sibuk dengan pelajaran peringkat pensijilan kemahiran di GiatMARA, di Hulu Terengganu, rutin Muhammad Syukur untuk bergelumang bersama haiwan ternakan kesayangan di kandang tetap sama.
“Sekarang saya belajar kursus teknologi motosikal. Setiap pagi saya akan singgah ke kandang dulu sebelum ke kelas yang mengambil masa kira-kira 15 minit perjalanan daripada rumah.
“Pada sebelah petang, selepas tamat kelas, saya akan singgah ke kandang juga untuk memberi makan dan bermain dengan kerbau kesayangan.
“Saya gembira bersama mereka. Malah tujuh kakak dan abang turut mesra dengan haiwan-haiwan ini, cuma saya lebih berani dan rapat dengan haiwan ini,” katanya yang tidak akan meninggalkan minatnya dalam bidang ternakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg