Exco Terengganu didakwa salah guna kedudukan dapat suapan untuk 2 anak
Exco Terengganu didakwa salah guna kedudukan dapat suapan untuk 2 anak
KUALA TERENGGANU: Exco Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 24 Februari, atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan membabitkan ahli keluarganya.
Tertuduh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustafa.
Mengikut pertuduhan, Datuk Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Encik Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anak kandungnya, Encik Ahmad Kamil Hanafiah, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 ($3,248), mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Peguam tertuduh melalui rayuan memohon pasport tertuduh tidak diserah kepada mahkamah atas alasan tidak berisiko melarikan diri, selain tertuduh sendiri seorang Adun dan mempunyai tanggungan dua isteri serta 13 anak.
Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan kes.
Sebelum ini pada 22 Februari lalu, media Malaysia melaporkan SPRM Terengganu menahan seorang Exco kerajaan Terengganu kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam reaksinya terhadap pendakwaan itu, berkata Exco terbabit kekal menjalankan tugas seperti biasa.
Beliau berkata kerajaan negeri berpegang kepada prinsip undang-undang seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui perbicaraan yang adil.
“Exco kekal dan tugasnya berjalan seperti biasa. Mengikut prinsip undang-undang, seseorang belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh perbicaraan yang adil,” katanya.

