Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fasa pertama projek tenaga angin luar pesisir Vietnam-M’sia-S’pura siap jelang 2034

Oct 22, 2025 | 4:16 PM
Timbalan Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Fadillah Yusof, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Fadillah Yusof, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Projek tenaga angin luar pesisir menghubungkan Vietnam ke Semenanjung Malaysia dijangka menjana kapasiti hingga 2,000 megawatt (MW), dengan sebahagian bekalan dieksport ke Singapura menjelang 2034, menandakan lonjakan besar dalam keupayaan tenaga boleh diperbaharui negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata daripada jumlah itu 700 MW akan digunakan untuk keperluan domestik manakala baki 1,300 MW diperdagangkan ke Singapura melalui talian penghantaran nasional.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek berkenaan dilaksanakan secara dua fasa bermula dengan pembinaan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia, manakala fasa kedua membabitkan sambungan darat melalui Kemboja, Laos dan Thailand.

“Talian penghantaran di Semenanjung akan diperkukuh, bermula di lokasi pendaratan kabel dasar laut di Kelantan, melalui Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor. Kerja ini telah bermula sejak Mei 2025 dengan tarikh sasaran operasi talian penghantaran pada 2030.

“Dengan pengukuhan talian penghantaran tersebut, seluruh negara dan negeri terlibat akan mendapat manfaat dari segi peningkatan keupayaan bagi pembekalan elektrik di samping mendapat pulangan pelaburan melalui eksport ke Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 22 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Fadillah menjawab soalan Anggota Parlimen Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional-Tumpat) yang ingin tahu perincian projek tenaga hijau (angin) dari Vietnam termasuk lokasi dan pelan pelaksanaannya serta perancangan pelaksanaan projek tenaga hijau di pantai timur Semenanjung untuk peringkat Asean.

Beliau berkata ketika ini projek tenaga hijau yang dibangunkan di Malaysia adalah khusus untuk kegunaan domestik saja.

Menurutnya, pembangunan projek tenaga hijau di Malaysia dilaksanakan pihak industri atau pemaju tenaga yang berkelayakan adalah berdasarkan nilai komersial, kesesuaian teknikal serta keupayaan grid sedia ada di kawasan tersebut.

Sementara itu, Datuk Fadillah berkata projek berkenaan dijangka memberi manfaat ekonomi kepada negeri-negeri terlibat melalui peluang pajakan tanah, penyertaan kontraktor tempatan dan hasil sewaan infrastruktur tenaga, selain membuka peluang kepada kerajaan negeri menjadi pemegang saham bersama dalam projek dilaksanakan secara permintaan bagi cadangan (RFP).

“Kerajaan negeri boleh menyertai sama ada sebagai pemegang saham atau melalui pajakan tanah dan pengambilan kawasan bagi laluan tiang elektrik,” katanya.

Beliau berkata tender terbuka akan dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau syarikat usaha sama (JV) yang melaksanakan sambungan grid berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg