Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Galeria Sri Perdana cetuskan aura istimewa dalam kalangan pengunjung

Bangunan penuh bersejarah pernah jadi kediaman rasmi Mahathir semasa menjadi PM M’sia
Aug 10, 2025 | 5:30 AM
Foto Mahathir-Goh Chok Tong, rakaman sejarah,  Galeria Sri Perdana, KL
Foto kenangan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad (paling kiri), dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (paling kanan), mengapit Perdana Menteri kedua Singapura, Encik Goh Chok Tong bersama isteri, Cik Tan Choo Leng , bertarikh 16 Februari 1998 yang dipamer di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Dari luar, bangunan putih di atas Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, ini mungkin tidak ubah seperti binaan biasa lain yang masih tersergam indah.

Namun, sebaik kaki melangkah masuk ke Galeria Sri Perdana – yang pernah menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad – ia seakan terasa satu aura istimewa.

Potret Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut kunjungan pelawat ke Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur.
Potret Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menyambut kunjungan pelawat ke Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Galeria Sri Perdana kini menjadi tarikan pengunjung termasuk pencinta sejarah serta pelancong dari dalam dan luar negara sebagai pusat sejarah dan dokumentasi kehidupan serta legasi pentadbiran era Dr Mahathir.

Sebelum Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketiga, Almarhum Tun Hussein Onn, juga pernah beberapa bulan menginap di situ. 

Memasuki galeria yang baru siap dibaik pulih selepas ditutup sementara sejak 2023 itu seolah-olah membawa pengunjung kembali ke dekad pemerintahan Dr Mahathir, yang membentuk landskap politik Malaysia moden. 

Hamparan permaidani merah menyambut ketibaan pelawat di ruang tamu utama, dan di dinding tersusun rapi beberapa koleksi foto peribadi dan rasmi milik Dr Mahathir – Perdana Menteri selama 22 tahun dan yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia.

Di antara bingkai gambar yang tergantung kemas itu, satu foto yang menarik perhatian memaparkan kenangan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, bersama Perdana Menteri kedua Singapura, Encik Goh Chok Tong, dan isteri Cik Tan Choo Leng.

Bilik bacaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, yang dulunya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat itu.
Bilik bacaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, yang dulunya adalah kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat itu. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Mereka masih kelihatan muda dalam gambar bertarikh 16 Februari 1998 di kediaman rasmi Perdana Menteri ketika itu.

Semakan di laman National Archive Singapore mendapati pada tarikh berkenaan, Encik Goh dalam rangka lawatan kerja ke Malaysia. 

Dalam suasana galeri yang penuh nostalgia, gambar itu mungkin kelihatan ringkas dan kecil, namun menjadi simbolik hubungan diplomatik dan kerjasama yang terjalin erat antara dua pemimpin dan kededua negara.

Mungkin ramai tidak tahu, Dr Mahathir mempunyai sejarah pendidikan di Singapura dan pernah menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya (kini dikenali Universiti Nasional Singapura), dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan pada 1953.

Di kolej itulah beliau bertemu Dr Siti Hasmah yang turut menuntut di situ, dan mereka berkahwin pada 1956.

Meneruskan langkah ke bahagian dalam galeria, kelihatan ruang tamu kedua, dewan makan yang begitu luas dan selesa, menggambarkan meriahnya suasana satu masa dulu ketika kediaman itu sering menerima kunjungan pemimpin dan ketua negara dari serata dunia.

Balkoni di tingkat atas Galeria Sri Perdana menjadi ruang kegemaran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana di sini beliau boleh melihat pembangunan pesat Kuala Lumpur ketika itu.
Balkoni di tingkat atas Galeria Sri Perdana menjadi ruang kegemaran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana di sini beliau boleh melihat pembangunan pesat Kuala Lumpur ketika itu. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Tidak jauh daripada ruang makan itu juga terdapat satu sudut menarik yang menempatkan kerusi dan peralatan seperti di ruang gunting rambut.

Menurut Pembantu Khidmat Awam Arkib Negara Malaysia yang menguruskan galeria itu, Encik Mohd Shahrizan Jailani, ruang gunting rambut itu wujud atas permintaan Dr Mahathir sendiri. 

Ruang khas sudut gunting rambut di tingkat bawah Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, menjadi tempat kegemaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan kekemasan diri sentiasa terjaga.
Ruang khas sudut gunting rambut di tingkat bawah Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, menjadi tempat kegemaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan kekemasan diri sentiasa terjaga. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Tun pentingkan kekemasan diri dan di sinilah tempat beliau sering mendapatkan khidmat tukang gunting rambut peribadinya yang akan datang bersama peralatan setiap kali khidmatnya diperlukan,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Pembantu Khidmat Awam Arkib Negara Malaysia, Encik Mohd Shahrizan Jailani.
Pembantu Khidmat Awam Arkib Negara Malaysia, Encik Mohd Shahrizan Jailani. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Dr Mahathir juga mempunyai hobi suka bertukang sejak kecil dan di kediaman ini juga ada sudut khas untuk beliau melunaskan minatnya dalam pertukangan kayu. Di sinilah pelbagai hasil seni kayu dihasilkan, antaranya replika kapal terbang dan rak buku.

Negarawan Malaysia itu yang menyambut usia 100 tahun pada 10 Julai lalu, mendiami rumah agam itu bersama Dr Siti Hasmah, 99 tahun, dan keluarga bermula Ogos 1983 sehingga Oktober 1999, sebelum beliau berpindah ke pusat pentadbiran kerajaan yang baru di Putrajaya.

Dr Mahathir, yang memegang jawatan Perdana Menteri kali pertama bermula 1981 hingga 2003, juga menjadi satu-satunya pemimpin Malaysia yang menjawat jawatan Perdana Menteri dua kali, dengan yang berikutnya ialah antara 2018 dengan 2020.

Ketika merasmikan pembukaan semula galeria itu pada 10 Julai sempena ulang tahun kelahiran seabadnya, Dr Mahathir menyifatkan kediaman itu sebagai tempat yang menyimpan pelbagai kenangan peribadi serta detik penting sepanjang beliau menerajui pentadbiran negara.

Menurutnya, selain menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri, bangunan itu juga menjadi saksi beliau menerima kunjungan pemimpin luar negara dan menganjurkan pelbagai acara rasmi termasuk jamuan serta majlis keluarga.

Malah, bilik mesyuarat di galeria ini juga pernah menjadi tempat lintas langsung keputusan pilihan raya.

“Di sini juga ada kenangan paling tidak boleh dilupakan apabila saya mengalami serangan jantung.

“Isteri kemudian menghubungi rakan sekelas ketika saya belajar di Singapura dan beliau sahkan saya terkena serangan jantung lalu dimasukkan ke hospital,” katanya.

Pengunjung Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, Encik Azmel Reza Abu Mansor, 40-an tahun.
Pengunjung Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur, Encik Azmel Reza Abu Mansor, 40-an tahun. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pelawat, Encik Azmel Reza Abu Mansor, 40-an tahun, yang kali pertama mengunjungi kediaman rasmi Perdana Menteri keempat itu pada 1996 semasa Dr Mahathir mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri, kembali mengimbau nostalgia menerusi sejarah yang ditinggalkan di galeria ini.

“Itulah kali pertama saya datang ke sini, jika tidak silap, ketika itu saya berusia 29 tahun, dan selepas lebih 20 tahun, saya kembali semula ke sini selepas kediaman ini siap dibaik pulih.

“Saya teruja untuk melawat dan lihat perubahan yang dibuat, namun ternyata sebahagian besar masih kekal dengan sentuhan asal, cuma dekorasi dibaik pulih dan lebih segar,” katanya kepada BM.

Cik Nur Syazwani Zamri, 27 tahun.
Cik Nur Syazwani Zamri, 27 tahun. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Cik Nur Syazwani Zamri, 27 tahun, kunjungan pertamanya ke Galeria Sri Perdana bukan sekadar lawatan ke bangunan bersejarah, tetapi satu pengalaman mengujakan untuk memahami perjalanan seorang pemimpin yang telah membentuk wajah Malaysia sehingga dikenali dunia.

“Ini kali pertama saya datang ke sini sebab nak tahu lebih lanjut tentang Tun. Saya memang sanjungi sumbangan Tun kepada Malaysia dan sangat kagum dengan keupayaan beliau walaupun pada usia 100 tahun.

“Lawatan ke galeria ini membuatkan saya rasa lebih dekat dengan Tun dan dapat merasai apa yang Tun lalui sepanjang kepimpinannya,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Galeria ini dibuka setiap hari dan ditutup pada Isnin, kecuali ketika cuti sekolah atau cuti umum, bermula 9 pagi hingga 5 petang dengan kemasukan percuma.

Galeria Sri Perdana di Kuala Lumpur, yang dulunya kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima ribuan pelawat pada hujung minggu.
Galeria Sri Perdana di Kuala Lumpur, yang dulunya kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, menerima ribuan pelawat pada hujung minggu. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Antara pameran yang terdapat di galeria ini termasuk pakaian rasmi Perdana Menteri, hadiah dan anugerah yang diterima dari dalam luar negara, pelbagai dokumen penting dan gambar kenangan, perabot serta karya seni yang memberikan gambaran mendalam mengenai sumbangan Dr Mahathir dalam membentuk sejarah Malaysia.

Turut dipamerkan ialah deretan kenderaan yang pernah dihadiahkan pelbagai pihak dan digunakan oleh Dr Mahathir.

Antara ruang pameran lain yang dibuka ialah bilik tidur perdana menteri dan tetamu; dapur keluarga; bilik cucian dan bilik persalinan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg