Topik diikuti
Pergi ke BHkuGangguan sistem bagasi KLIA dedah kelemahan ketara sistem
Gangguan sistem bagasi KLIA dedah kelemahan ketara sistem
Kementerian Pengangkutan M’sia dapati punca utama kejadian adalah gangguan pada peralatan suis
Gangguan sistem bagasi KLIA dedah kelemahan ketara sistem
Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengakui terdapat kelemahan ketara dari segi ketahanan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyusuli kejadian gangguan bagasi di Terminal 1 KLIA, pada 18 April lalu.
Menurut MOT dalam kenyataan pada 20 April, gangguan BHS itu mendedahkan kelemahan pada aspek sistem sokongan kuasa yang gagal berfungsi dalam keadaan kecemasan.
Perkembangan siasatan ke atas kejadian gangguan BHS itu dibangkitkan dalam mesyuarat penyelarasan kecemasan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, pada 20 April.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri pegawai kanan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), wakil syarikat penerbangan serta pasukan operasi yang terlibat secara langsung semasa kejadian tersebut.
MOT memaklumkan, siasatan mendapati punca utama kejadian ialah gangguan pada sistem Peralatan Suis Bertebat Gas (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja pada kira-kira 4.54 petang, yang menyebabkan penurunan voltan dan menjejas operasi KLIA.
“Gangguan ini telah mengakibatkan kegagalan pengawal sistem BHS dan seterusnya menyebabkan penutupan besar sistem yang menjejaskan pengendalian bagasi bagi penerbangan yang berlepas dan yang tiba.
“Walaupun sistem itu disokong oleh unit Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan (UPS), sebanyak enam unit UPS turut terjejas, sekali gus mendedahkan kelemahan dari segi ketahanan sistem,” kata MOT dalam kenyataan pada 20 April itu.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan sebahagian penumpang yang tiba di Terminal 1 KLIA pada 18 April terpaksa menunggu sehingga beberapa jam di terminal itu untuk mendapatkan bagasi mereka.
Keadaan itu menimbulkan rasa marah dan kecewa dalam kalangan penumpang yang terpaksa bersesak dan menunggu sehingga tiga jam untuk mendapatkan bagasi berikutan gangguan berkenaan.
Namun, MOT menegaskan walaupun berlaku gangguan, jadual penerbangan tidak terjejas dan tiada kelewatan atau pembatalan penerbangan dilaporkan.
MOT menambah, dalam tempoh antara 5 petang dengan 10.30 malam pada hari kejadian, sebanyak 23,769 bagasi telah diproses.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,061 bagasi dilaporkan sebagai shortshipped (tertinggal dalam penghantaran), manakala 120 bagasi dikenal pasti sebagai hilang semasa ketibaan.
“MAHB bersama rakan pengendali darat telah berjaya menghantar sebahagian besar bagasi yang terlibat, dengan sebilangan kecil beg yang tinggal di peringkat akhir penyerahan atau tuntutan,” menurut MOT lagi.
Semakan dalaman turut mengenal pasti beberapa kelemahan operasi termasuk penyelarasan di lapangan, masa tindak balas serta keterlihatan sistem secara masa nyata, tambah MOT.
“Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan telah diaktifkan, skala gangguan yang berlaku melebihi jangkaan senario sedia ada,” kata MOT.
Justeru, MOT berkata sebagai langkah segera, MAHB bersama rakan pengendali darat telah melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi memantapkan operasi dan mengurangkan kesulitan penumpang.
“Sehubungan itu, MOT telah mengarahkan satu penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol dan prasarana sistem pengendalian bagasi di KLIA, serta akan memastikan pemantauan rapi terhadap pelaksanaannya.
“Nota Jemaah Menteri berhubung kejadian ini akan dibentangkan pada 22 April, manakala MAHB diarah mengemukakan laporan kemajuan mingguan berkaitan usaha penstabilan operasi,” kata kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, MOT memaklumkan bahawa CAAM sedang menjalankan siasatan lanjut bersama MAHB bagi memastikan operasi kembali mantap sepenuhnya serta mematuhi piawaian keselamatan dan perkhidmatan yang ditetapkan.
“MOT menegaskan bahawa langkah proaktif dan pembetulan sedang dipercepatkan bagi memperkukuh ketahanan sistem serta memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan dan kebolehpercayaan lebih tinggi,” katanya.
