Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelantan, Terengganu antara 4 negeri diramal hujan berterusan hingga 19 Dis

Lapan sekolah di serata M’sia dijadikan pusat pemindahan kekal bencana bagi lindungi mangsa banjir masa depan
Dec 16, 2024 | 5:09 PM
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap waspada bermula 16 hingga 19 Disember dan perlu berjaga-jaga dengan kemungkinan berlakunya banjir.
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap waspada bermula 16 hingga 19 Disember dan perlu berjaga-jaga dengan kemungkinan berlakunya banjir. - Foto BERNAMA

Empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak perlu peka dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan banjir kembali melanda bermula 16 Disember.

Ini susulan amaran hujan lebat berterusan pada tahap waspada selama empat hari yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) di empat negeri terbabit yang diramal berlaku sehingga 19 Disember ini.

Di Pahang, amaran itu dikeluarkan di beberapa daerah termasuk Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Hulu Perak, Perak.

MetMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tujuh negeri termasuk kawasan Pantai Timur yang sering terjejas akibat peralihan musim monsun.

Sebelum ini, Pahang, Terengganu dan Kelantan kembali dilanda gelombang kedua banjir dengan sejumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka sejak 9 Disember.

Dalam tempoh itu, lebih 2,000 mangsa terlibat, namun banjir di negeri itu kembali pulih dengan semua mangsa telah pulang ke rumah masing-masing.

Ketika ini, hanya Johor masih terjejas banjir dengan sejumlah kecil mangsa iaitu 36 orang daripada 11 keluarga di Segamat, manakala di Beaufort, Sabah, membabitkan 80 mangsa daripada 26 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, dilaporkan berkata Stesen Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat, mencatatkan trend menurun paras sungai dengan bacaan 8.68 meter, manakala Sungai Paya Dato di Mersing melepasi paras amaran dengan bacaan 1.50 meter.

Dalam pada itu sebagai tanda sokongan terhadap Kelantan yang menghadapi banjir terburuk pada gelombang pertama akhir November hingga awal Disember lalu, kerajaan Selangor akan menyumbang sejumlah RM500,000 ($151,380) untuk proses pemulihan akibat bencana itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan sokongan itu bagi membolehkan proses membaik pulih infrastruktur dan kemudahan lain.

Selangor turut menggerakkan Skuad Ihsan Madani merangkumi anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan ke Kelantan bagi operasi pascabanjir.

“Misi ini adalah manifestasi dan keprihatinan negeri tanpa mengira penduduk dan lokasi. Pasukan akan bantu kerja pembersihan di kawasan kritikal dan kita utamakan kemudahan awam seperti masjid, surau atas nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” kata Datuk Amirudin.

Sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan banjir dengan lebih tersusun dan teratur pada masa akan datang, sejumlah lapan sekolah di serata Semenanjung terpilih untuk pembinaan pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) bagi menempatkan mangsa banjir.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata pembinaan PPKB itu adalah projek Nadma.

Antara lapan sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, Batu Pahat, Johor; SK Gua Tinggi, Pasir Mas, Kelantan; SK Banggol Peradong, Kuala Terengganu, Terengganu dan SK Benta, Kuala Lipis, Pahang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg