BATU PAHAT: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan barat daya Batu Pahat, Johor, pada 4.55 petang, 22 September.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan pusat gempa itu terletak pada koordinat 1.7 darjah utara dan 102.7 darjah timur, kira-kira 27 kilometer di barat daya Batu Pahat.

Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer.

MetMalaysia berkata gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan sekitarnya.

Jabatan itu akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan meminta orang ramai yang rasai gegaran supaya mengisi borang soal selidik yang disediakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat, Encik Kamalludin Jamal, berkata laporan awal menunjukkan gegaran berkenaan mungkin dirasai di beberapa kawasan sekitar daerah itu dan kawasan berdekatan.

“MetMalaysia dan agensi berkaitan sedang memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan di daerah Batu Pahat selamat, terutama bagi orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Encik Kamalludin, yang juga Pegawai Daerah Batu Pahat, meminta orang ramai supaya terus bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Beliau berkata perkembangan terkini perlu diperoleh daripada sumber rasmi, termasuk laman web MetMalaysia dan saluran agensi kerajaan.

“Orang ramai juga diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, penghulu mukim atau pemimpin masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat akan terus menyampaikan perkembangan terkini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.