Gempa bumi magnitud 6.8 landa Sabah
Terbesar pernah direkod berhampiran M’sia sejak 1923
KOTA KINABALU (Sabah): Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 pagi, 23 Februari, namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Ini merupakan gempa bumi terbesar yang pernah direkodkan berhampiran Malaysia sejak gempa bumi bermagnitud 6.6 di Lahad Datu, Sabah, pada 1923.
Dalam masa sama, beberapa daerah di Sabah dilanda banjir dengan lebih 4,000 penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pagi 23 Februari.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam kenyataan pada 23 Februari, memaklumkan pusat gempa itu terletak pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur, dengan kedalaman 678 kilometer (km).
“Pusat gempa bumi berada pada jarak 49 km ke Barat dari Kudat, Sabah.
“Gegaran dilaporkan dapat dirasai di Kota Kinabalu, Penampang dan kawasan pantai barat Sabah, serta beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada ancaman tsunami dilaporkan,” lapor Berita Harian Malaysia (BHM) menukil kenyataan itu.
Malaysia merekodkan kurang daripada lima gempa bumi melebihi magnitud 6 dengan semuanya berlaku di Sabah, termasuk kejadian bermagnitud 6.0 di Ranau pada 4 Jun 2015, yang mengorbankan 18 nyawa dan menyebabkan 11 lagi cedera akibat runtuhan batu di Gunung Kinabalu.
Kejadian gempa itu mencetuskan keadaan panik dalam kalangan penduduk, dengan pengguna media sosial berkongsi pengalaman masing-masing, menggambarkan rumah bergegar, bergoyang serta sentapan mengejut yang pada awalnya disangka disebabkan rasa pening.
Cik Siti Anizah dari Likas berkata beliau merasai gegaran ketika sedang memasak, dengan dapurnya seperti bergerak dan menyangka penyakit vertigonya datang semula.
Di Kepayan, seorang penduduk, Petrus Bius, menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau sedang berehat, dengan rumahnya tiba-tiba bergegar.
“Saya sedang berehat pada masa itu, tiba-tiba rasa gegaran sekitar 10 saat. Memang jelas terasa,” katanya kepada BHM.
Dalam pada itu, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan, kebanyakan penghuni yang rasai gegaran bertindak keluar dari kediaman masing-masing dan berkumpul di dewan sebagai langkah berjaga-jaga.
Malah, terdapat juga beberapa penghuni yang mengambil keputusan meninggalkan kawasan berkenaan dengan menaiki kenderaan bersama ahli keluarga bagi memastikan keselamatan.
Sementara itu, The Straits Times, melaporkan terdapat beberapa pengguna media sosial di Toa Payoh, Balestier dan Punggol, mendakwa mereka rasai gegaran tersebut.
Di Reddit, pengguna bernama dcburn yang menetap di kawasan East Coast berkata ia adalah ‘antara gegaran paling kuat’ pernah dirasainya di Singapura.
Pengguna Facebook Soniakaur Soniasingh pula berkata beliau rasakan ‘sedikit gegaran’ ketika sedang menonton filem di rumahnya di Ang Mo Kio.
Perkhidmatan Meteorologi Singapura dalam kemas kini di laman webnya pada 1.13 pagi, 23 Februari, memaklumkan gempa itu berlaku kira-kira 1,500 kilometer dari Singapura dan tiada laporan gegaran diterima serta tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Mengenai kejadian banjir, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata jumlah mangsa meningkat ketara kepada hampir 4,500 pada pagi 23 Februari dan semua mangsa yang dipindahkan ke 32 PPS adalah penduduk dari 70 kampung di tiga daerah terjejas iaitu Pitas, Paitan dan Tawau.

