Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selangor mula proses pulih akidah pengikut Global Ikhwan

Negeri Sembilan dapati ajaran, kepercayaan GISBH sama seperti kumpulan al-Arqam yang difatwa sesat
Oct 8, 2024 | 11:52 AM
Global Ikhwan Service and Business Holdings didakwa serpihan pertubuhan al-Arqam yang difatwakan sesat di Malaysia pada 1994.
Global Ikhwan Service and Business Holdings didakwa serpihan pertubuhan al-Arqam yang difatwakan sesat di Malaysia pada 1994. - Foto ST

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bekerjasama dengan agensi kerajaan dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) bagi melaksanakan proses pemulihan secara menyeluruh ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH)

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pemulihan akidah dan bimbingan agama bagi ahli GISBH pelbagai peringkat umur merangkumi jangka panjang dan pendek.

Menurutnya, Mais memulakan tindakan pada 23 September bagi membangunkan pelan tindakan penyediaan bantuan pemulihan akidah dan sosial untuk kanak-kanak GISBH, yang kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa diutamakan.

“Sehingga kini, seramai 20 guru al-Riqab terbabit mengajar di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 261 kanak-kanak.

“Modul yang digunakan dalam proses pemulihan kanak-kanak ini adalah modul khas yang dibangunkan oleh Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas), yang mula dilaksanakan pada 1 Oktober,” katanya lapor Harian Metro.

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang diadakan pada 28 September mendapati ajaran dan kepercayaan GISBH sama seperti ajaran dan kepercayaan kumpulan al-Arqam, yang difatwakan sesat pada 1994.

Mufti Negeri Sembilan, Profesor Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin, berkata buat masa ini jawatankuasa itu belum memutuskan sama ada perlu mengeluarkan keputusan baru atau tidak.

“Fatwa ajaran al-Arqam yang diharamkan sejak 1994 dan kemudian diwartakan sekali lagi pada 2016 masih relevan dan boleh dikuatkuasakan bagi menangani ajaran GISBH.

“Bagaimanapun, ia akan dinilai dan diputuskan semula pada mesyuarat jawatankuasa fatwa bulan ini (Oktober),” kata beliau.

Setakat ini, tiga negeri di Malaysia sudah mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat, iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.

Pada awal September, polis melancarkan Op Global dan menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan agama.

Serbuan itu menyaksikan sejumlah 572 mangsa diselamatkan dan membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH, termasuk pihak pengurusan tertingginya.

Pertubuhan al-Arqam adalah kumpulan ajaran sesat yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Kumpulan itu dikatakan sangat aktif berevolusi dari sudut penjenamaan dan penampilan, serta mempunyai ramai pengikut.

Strategi penyebaran kumpulan itu ialah melalui pendidikan, penerbitan, perniagaan, perubatan, pakaian sunah, dan hiburan Islamik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg