Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dakwa Zahid mahu cepat jadi PM
Dakwa Umno rasa parti itu sudah kuat dan berada di puncak dan mahu segera hadapi PRU16
Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dakwa Zahid mahu cepat jadi PM
JOHOR BAHRU: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan segera kerana didakwa mahu cepat menjadi Perdana Menteri.
Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini kerana Umno berasa parti itu sudah kuat dan berada di puncak ketika ini dan merupakan masa terbaik untuk PRU16.
“Jadi pada saya ini semua ialah kerana Umno berasakan mereka sudah berada di puncak kekuatan dan mereka yakin mereka boleh membentuk kerajaan sendiri.
“(Ini kerana) persefahaman antara Umno dengan PAS (Parti Islam SeMalaysia) tidak lagi boleh dilengahkan. Sebab tu mereka nak cepat diadakan pilihan raya. Sebab saya yakin bahawa Datuk Ahmad Zahid pun tak sabar untuk jadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Hotel Amerin di sini pada 13 September, lapor MalaysiaGazette.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengerusi Amanah Johor, Encik Aminolhuda Hassan; dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Encik Suhaizan Kaiat.
Pada 11 September, Datuk Ahmad Zahid menegaskan Umno berhasrat mahu PRU16 disegerakan bagi membolehkan parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.
Menurut Presiden Umno itu, PRU16 akan menjadi titik penentuan bagi Umno untuk kembali memimpin negara dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan.
Selain itu, Datuk Mohd Puad mendakwa semasa ucapan penggulungan PAU 2026 terdapat perbezaan pandangan antara Presiden Umno itu dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Jelasnya, Timbalan Presiden Umno dilihat membawa mesej yang berhati-hati semasa berucap dalam PAU 2026 iaitu jangan terlalu percaya dengan kerjasama politik ketika ini dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tetapi presiden seolah-olah tidak lagi mahu menoleh ke belakang, sebab tu dia hendak pilihan raya dipercepatkan.
“Dia pun sebut dengan jelas iaitu biru campur hijau. Pilih biru pekat jangan pilih biru cair yang saya faham ialah PKR-lah kan. Jadi seolah-olah sudah berterus-terang,” katanya.
Ditanya kehadirannya dalam program anjuran Amanah itu sama ada akan menyertai parti tersebut, mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) itu berkata beliau masih lagi tidak menganggotai mana-mana parti politik ketika ini.
“Saya lebih suka dengan keadaan saya sekarang iaitu tidak berparti. Apa yang penting ialah saya masih lagi boleh memberikan pandangan dan kritikan,” katanya.
Menurutnya, beliau masih menulis dalam Facebook dan boleh dikatakan setiap hari mengkritik Umno.
