Topik diikuti
Pergi ke BHkuHadi: Jentera PAS tak akan bantu kempen Bersatu, hanya fokus calon parti
Hadi: Jentera PAS tak akan bantu kempen Bersatu, hanya fokus calon parti
Hadi: Jentera PAS tak akan bantu kempen Bersatu, hanya fokus calon parti
MARANG: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan jentera pilihan raya daripada parti itu tidak akan membantu calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), walaupun ia bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, PAS sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan semua jentera parti akan bergerak berasingan.
“PAS sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan jentera parti masing-masing bergerak berasingan,” katanya ketika ditemui media di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, pada 26 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata penggunaan logo PN oleh Bersatu dalam PRN Johor diberikan atas desakan parti berkenaan yang setakat ini belum dipecat dan masih berada dalam gabungan PN.
Pada PRN Johor, PAS hanya meletakkan calonnya untuk bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN), manakala Bersatu bertanding di 16 kerusi.
Lima lagi kerusi untuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan hanya bertanding satu kerusi.
Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa ‘perceraian’ antara PAS dan Bersatu hanya satu strategi politik, Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua calon PAS ditetapkan untuk bertanding menggunakan logo PN, dan Bersatu dalam masa sama tetap mendesak untuk menggunakan logo sama.
“...dan mungkin penggunaan logo (PN) itu adalah strategi parti berkenaan (Bersatu).
“Kita tegaskan, jentera pilihan raya PAS tidak akan membantu kempen Bersatu...kita sudah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan parti itu,” katanya lagi.
Sejak PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, kedudukan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dalam PN menjadi pertikaian.
Bersatu bertegas mahu kekal dalam PN atas alasan kedudukannya sebagai parti pengasas, sementara PAS dilihat berusaha menyingkirkan Bersatu daripada PN mengikut Perlembagaan parti itu.
Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada malam 22 Jun yang awalnya untuk memutuskan kedudukan Bersatu dalam PN, hanya berakhir dengan pengumuman penyertaan Parti Wawasan Negara pimpinan mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Parti Pejuang Tanah Air sebagai anggota baru PN.
Malah, pengumuman calon PAS dan Bersatu yang akan bertanding dalam PRN Johor juga dibuat berasingan, tidak sebagaimana kelaziman.
Dalam pada itu Tan Sri Abdul Hadi berkata, PAS akan menjadi pembangkang dan penasihat kerajaan negeri Johor, selepas PRN nanti.
Beliau berkata, apa yang paling utama ialah parti pemerintah Johor diterajui orang Islam dan bukannya dikuasai puak bukan Islam atau liberal.
