Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN selesai agihan kerusi PRN Johor, Bersatu paling banyak bertanding
PN selesai agihan kerusi PRN Johor, Bersatu paling banyak bertanding
PN selesai agihan kerusi PRN Johor, Bersatu paling banyak bertanding
Pertikaian mengenai kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akhirnya selesai, selepas parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu disahkan sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh agihan kerusi terbanyak untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan rundingan agihan kerusi bagi PRN Johor telah dimuktamadkan pada 24 Jun, termasuk penyelesaian isu pertindihan di 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, Datuk Muhammad Sanusi, tidak memperincikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi PN, termasuk agihan mengikut parti komponen. Johor mempunyai 56 kerusi DUN.
Perkembangan itu dilihat positif buat Bersatu yang sebelum ini bertegas akan bertanding di PRN Johor menggunakan logo PN, ketika kedudukannya dalam gabungan itu belum dimuktamadkan.
Ia selepas Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang mendominasi kepimpinan PN menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu.
“Paling banyak (kerusi) Bersatu. Tadi selesaikan (isu) 34 kerusi yang bertindih. Yang tak bertindih kita tak kacau (bincang),” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selepas mempengerusikan mesyuarat rundingan agihan kerusi PN untuk PRN Johor pada 24 Jun.
Mesyuarat itu turut disertai Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik P Punithan.
Datuk Muhammad Sanusi berkata pembahagian kerusi itu dibuat mengikut senarai yang diserahkan kepada PN berdasarkan keyakinan parti masing-masing, dengan beberapa faktor diambil kira termasuk dari segi kekuatan jentera, pengundi, pengalaman, serta status calon sama ada penyandang dan pernah bertanding.
“Misi saya merundingkan kerusi selesai, alhamdulillah,” katanya.
Datuk Muhammad Sanusi turut mengesahkan Parti Wawasan Negara yang baru menyertai PN tidak bertanding di PRN Johor, sementara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bertanding di satu kerusi iaitu kerusi DUN Gambir.
Kerusi itu pernah dipegang Tan Sri Muhyiddin sejak 2018 hingga 2022, namun mantan Perdana Menteri itu tidak hasrat untuk bertanding kerusi berkenaan pada PRN Johor.
Dalam pada itu, Datuk Muhammad Sanusi berkata PAS akan mengumumkan calonnya untuk mewakili PN dalam PRN itu dalam satu majlis di Muar, Johor, pada 25 Jun.
Namun, beliau berkata belum mendapat kepastian sama ada Bersatu akan bersama pada majlis pengumuman calon PN diwakili PAS itu.
Sementara itu, tiga parti komponen PN – Bersatu, Gerakan dan MIPP – mengakui berpuas hati dengan hasil mesyuarat yang berlangsung secara harmoni, terutama dalam isu pertindihan kerusi antara PAS dengan Bersatu yang berjaya diselesaikan.
