Kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang diketahui 14 Mac ini
Kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang diketahui 14 Mac ini
KUALA LUMPUR: Kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kini menerajui Perikatan Nasional (PN), perlu segera menamakan seorang Ketua Pembangkang baru bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kerana ia melibatkan imej dan maruah gabungan itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana Datuk Hamzah bukan lagi ahli Bersatu dan PN setelah dipecat daripada parti tersebut dan oleh itu, beliau tidak berhak untuk terus memegang jawatan berkenaan.
Tan Sri Muhyiddin juga berkata Datuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen (AP) Larut (Perak) itu wajar berundur sendiri daripada jawatan itu atas dasar rasa malu.
“Beliau (Datuk Hamzah) sepatutnya mempunyai rasa malu dan mengambil pendirian untuk mengundurkan diri daripada jawatan terbabit.
“Namun disebabkan masih lagi kekal di situ, pimpinan PAS perlu membuat keputusan segera kerana hasil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini sudah memutuskan berhubung kekosongan jawatan ketua pembangkang itu,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Selain PAS, PN turut dianggotai Bersatu sebagai komponen utamanya, selain Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Menyusuli perkembangan itu, Datuk Takiyuddin pada 3 Mac berkata PN akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perjalanan gabungan itu termasuk memutuskan Ketua Pembangkang di Parlimen.
Datuk Takiyuddin berkata notis makluman sudah dihantar kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.
“PN akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi pada 11 pagi, 14 Mac ini,” katanya pada sidang media di Parlimen pada 3 Mac.
Datuk Takiyuddin pada sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN baru-baru ini memaklumkan PAS akan mengambil alih kedudukan Ketua Pembangkang, namun sehingga kini, belum jelas siapa akan dinamakan daripada parti itu.
Bagaimanapun, beberapa nama disebut-sebut akan dinamakan termasuk Datuk Takiyuddin sendiri yang juga AP Kota Bharu (Kelantan) dan Setiausaha Agung PAS.
Untuk rekod, Datuk Hamzah pada 13 Februari lalu dipecat keahliannya daripada Bersatu berdasarkan keputusan yang ditetapkan Lembaga Disiplin parti itu seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
Tan Sri Muhyiddin yang sebelum ini memperincikan sebab pemecatan Datuk Hamzah itu berkata pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mencari perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terbabit.
Namun, katanya usaha berkenaan tidak berhasil, malah ada segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti, bertujuan memecah-belahkan Bersatu dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.

