Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga makanan, minuman di 10,000 kantin sekolah M’sia bakal naik 50%

Aug 5, 2024 | 5:15 PM
Dijangkakan pada 2025, pelajar sekolah di Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi untuk membeli makanan berikutan lebih 10,000 pengusaha kantin dijangka menaikkan harga makanan kerana peningkatan kos.
Dijangkakan pada 2025, pelajar sekolah di Malaysia terpaksa membayar lebih tinggi untuk membeli makanan berikutan lebih 10,000 pengusaha kantin dijangka menaikkan harga makanan kerana peningkatan kos. - Foto FACEBOOK KANTIN SEKOLAH

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di Malaysia dijangka menaikkan harga makanan sebanyak 50 peratus pada 2025, berikutan penguatkuasaan berhubung penggunaan barangan bersubsidi.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Encik Khairuddin Hamzah, berkata tender kantin sekolah dibuka setiap tiga tahun dengan 10,000 pengusaha bakal memperbaharui kontrak masing-masing pada 2025.

“Setiap tiga tahun, sekolah akan membuka tender. Jadi pe­nender akan masukkan harga baru dengan menggunakan kos sekarang dan anggaran kenaikan kos bagi dua atau tiga tahun akan datang. Jadi kebiasaannya akan ada peningkatan sebanyak 20 ke 30 peratus saja.

“Tetapi tahun ini, ada perubahan dari segi penguatkuasaan. Dulu, kebanyakan pengusaha kantin menggunakan barangan bersubsidi seperti minyak masak paket dan gula untuk menjual maka­nan dengan harga yang murah.

“Masalahnya, ramai pengusaha kantin tidak sedar bahawa tindakan itu menyalahi undang-undang negara kerana apa saja bentuk perniagaan tidak boleh menggunakan barangan bersubsidi,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Encik Khairuddin berkata PKSM mendapati banyak kantin dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menggunakan barangan bersubsidi.

“Ia sudah menjadi kejutan kepada ramai pengusaha kantin kerana mereka ingat boleh guna (barangan bersubsidi) sebelum ini dan mereka masuk tender dulu pun menggunakan harga barang-barang bersubsidi.

“Ramai daripada kami terpaksa menggunakan harga-harga stan­dard iaitu harga tanpa subsidi.

“Jadi kenaikan kali ini terutama untuk kantin-kantin yang memperbaharui kontrak akan melebihi 50 peratus. Ini bagi mengelak kantin mereka diperiksa atau ditutup oleh penguat kuasa pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, Encik Khairuddin merayu campur tangan kerajaan Malaysia untuk menangani isu itu.

“Kalau tidak boleh beri subsidi supaya harga kekal murah, sekurang-kurangnya ada pene­rangan kenapa makanan di kantin menjadi agak mahal. Kerajaan perlu memainkan peranan dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Encik Khairuddin berkata lebih separuh daripada pengusaha kantin terdiri daripada warga emas yang tidak arif dalam hal undang-undang.

“Ini termasuk undang-undang mengenai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mana mereka mewajibkan semua warganegara yang memiliki pendapatan untuk mengisytiharkan pendapatan mereka, tidak kira dari pekerjaan atau perniagaan.

“Malangnya, pengusaha kantin dari sekolah-sekolah kecil yang pendapatannya tidak seberapa ini menganggap seolah-olah mereka tidak perlu buat kerana kalau isytihar pun tidak perlu bayar kerana jumlah pendapatan jauh di bawah paras yang perlu membayar cukai.

“Dengan situasi sekarang, kalau kerajaan benar-benar menguatkuasakan semua agensinya untuk menyiasat maka banyak kantin akan terjejas,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg