Tiga beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut, manakala seorang lagi cedera parah, dalam kemalangan pada pagi Aidiladha pada 27 Mei, melibatkan dua kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.

Mereka yang maut adalah seorang wanita berusia 52 tahun, Allahyarhamha Safinaz Razmi, 52 tahun; anak perempuannya, Allahyarhamha Jazmin Lyana Mohd Jamil, 22 tahun; dan anak Jazmin, yang juga cucu Safinaz, Nur Nuha Helena Abd Matin, enam bulan.

Suami Jazmin, Encik Muhammad Danial Darwisy Che Hasmadi, 23 tahun, yang juga pemandu kereta Perodua Bezza, cedera parah dalam kemalangan itu dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Timbalan Superintenden Mohd Maizan Mustaffa, berkata Safinaz meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dalam kemalangan kira-kira 7.10 pagi itu.

Anggota bomba mengeluarkan empat beranak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, pada pagi Aidiladha, 27 Mei.
Anggota bomba mengeluarkan empat beranak yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan, pada pagi Aidiladha, 27 Mei. - Foto ihsan JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

Beliau berkata Allahyarhamha Jazmin dan bayinya pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSIP, antara 10 pagi dengan 4 petang pada hari sama, lapor Harian Metro.

Encik Mohd Maizan berkata siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki empat beranak itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan Toyota Alphard di laluan bertentangan.

Kereta Toyota Alphard itu membawa enam penumpang, termasuk dua kanak-kanak lelaki yang cedera, sementara Perodua Bezza dinaiki empat penumpang.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah, di Tumpat, Kelantan, pada pagi 28 Mei, ketika jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan itu dikebumikan.

Encik Muhammad Danial turut hadir di upacara pengebumian itu selepas meminta kebenaran pihak hospital untuk melihat jenazah ibu mentua, isteri serta bayi sulungnya buat kali terakhir.

Menurutnya, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mentua di Kampung Bedullah untuk menyambut Aidiladha dan pada masa sama, ingin mengadakan majlis akikah untuk cahaya mata sulungnya itu.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan sebaik sedar, saya dapati sudah ada di tepi jalan dan diangkat anggota bomba.

“Fikiran saya terus teringatkan anak, isteri dan ibu mentua dalam kereta, namun dalam masa sama terasa sakit di beberapa anggota badan akibat kemalangan itu,” katanya.

Encik Muhammad Danial yang cedera dalaman termasuk pada buah pinggang dan mengalami pendarahan dalam perut menambah beliau dan isteri yang bekerja di Kuala Lumpur mendapat cuti seminggu untuk pulang beraya.

“Berat untuk saya terima takdir ini apabila tiga insan tersayang diambil sekelip mata, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” jelasnya.