Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu penyerang Balai Polis Ulu Tiram mohon bicara

Oct 1, 2024 | 11:18 AM
Warga Singapura, Rosna Jantan, 59 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi pengganasan.
Warga Singapura, Rosna Jantan, 59 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi pengganasan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ibu suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi pengganasan.

Tertuduh, Rosna Jantan, 59 tahun, yang merupakan warga Singapura, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin pada 30 September.

Mengikut tuduhan, Rosna didakwa dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkaitan kesalahan-kesalahan itu. Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, antara April 2017 dengan 17 Mei 2024.

Justeru tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Yazid Mustaqim Roslan, memaklumkan semasa Rosna didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dia diwakili seorang peguam.

“Namun pihak pendakwaan dimaklumkan peguam itu tidak dapat hadir kerana tidak menerima notis.

“Tertuduh sebelum ini dituduh bersama empat tertuduh lain dan kes tertuduh lain telah ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Jenayah 7 pada 23 Oktober ini,” kata Encik Yazid Mustaqim, lapor Kosmo!.

Selepas mendengar makluman kededua pihak, Datuk Noorin menetapkan 12 November ini untuk pengurusan kes.

Pada 19 Jun lalu, Rosna, suami serta tiga anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan berkaitan pengganasan.

Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak penyerang yang juga anak lelaki Rosna, yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.

Lelaki yang menyerang balai tersebut turut maut ditembak dalam kejadian berdarah tersebut. Suspek lengkap memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis tersebut dengan bersenjatakan parang.

Dua anggota polis yang maut dikenal pasti sebagai Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azha.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg