KUANTAN (Pahang): Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja membabitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah, dengan seorang wanita pada April 2025.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata hantaran di laman media sosial Instagram yang dimuatnaikkan sendiri oleh pengguna platform dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_1) menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.
“Menurut hantarannya di Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April 2025 dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
“Istana Pahang sudah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama.
“Istana Pahang meminta orang ramai tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain daripada Portal Rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube menggunakan nama Kesultanan Pahang,” katanya menerusi kenyataan media, lapor Harian Metro.
Justeru, beliau berkata, tindakan tegas boleh diambil terhadap individu terbabit atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang.
Tengku Hassanal sebelum ini sudah beberapa kali dikaitkan dengan spekulasi bakal berkahwin, termasuk ketika menjelang perkahwinan dua adiknya, Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, pada 2024.
Pada Oktober, Istana Pahang mengeluarkan satu kenyataan menafikan khabar angin berkenaan istiadat perkahwinan diraja membabitkan Tengku Mahkota Pahang dengan seorang wanita seperti yang tular di media sosial.
Dakwaan itu mula tersebar selepas satu hantaran dimuat naik di Instagram oleh pengguna yang menggunakan nama akaun ‘Farida.1111111’ pada September.
Sementara itu, semakan di Instagram menunjukkan wanita terbabit mendakwa tarikh perkahwinannya adalah pada 20 April 2025 dan akan berlangsung di Ipoh, Perak.
Beliau turut mendakwa, tetamu yang hadir akan menerima cenderahati berupa iPhone, selain majlis itu akan diserikan dengan konsert khas pemuzik antarabangsa dari Belanda, DJ Tiesto.
Instagram wanita itu turut memaparkan beberapa gambarnya bersama kerabat Diraja Pahang termasuk dengan Tengku Hassanal.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg