Perkongsian seorang usahawan tudung berjenama dan mewah, Cik Haliza Maysuri, mengenai pembelian set pengurusan jenazah termasuk kain kapan berharga hampir RM1,000 ($316.70) baru-baru ini, telah mencetuskan perdebatan awam dan teguran daripada menteri serta mufti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Hassan, mengingatkan umat Islam persediaan menghadapi kematian perlu memberi tumpuan utama kepada amalan dan bekalan akhirat yang benar-benar memberi manfaat.
Beliau juga bersetuju dengan pendirian Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, bahawa membelanjakan wang berlebihan untuk kain kapan mewah atau berjenama bukan sesuatu yang dianjurkan dalam Islam.
“Umat Islam dianjurkan berpegang kepada prinsip ‘awlawiyyat’ iaitu mengutamakan sesuatu yang lebih penting berdasarkan hukum syarak termasuk dalam persediaan menghadapi kematian.
“Sebenarnya mengingati kematian itu perkara yang sangat penting, namun kita perlu menginsafi apabila kita meninggalkan dunia, yang ditinggalkan hanya anak soleh, ilmu bermanfaat dan sedekah jariah. Itu yang perlu menjadi tumpuan.
“Sebagai pihak yang menguruskan hal ehwal agama, kita menyeru umat Islam supaya memberi tumpuan kepada perkara lebih utama berbanding perkara bukan keutamaan atau ‘awlawiyyat’,” katanya kepada media dalam satu program di Universiti Teknologi Mara (UiTM), lapor Harian Metro.
Bagaimanapun beliau berkata, isu itu tidak wajar dipanjangkan, sebaliknya umat Islam perlu mengambil peluang bermuhasabah diri dan menilai sejauh mana persiapan dilakukan sebagai bekalan menghadapi kematian.
Beberapa hari lalu, video dikongsi Cik Haliza, seorang jutawan tudung jenama Bawal Exclusive, ketika membeli set pengurusan jenazah premium yang dinamakan AkhiRI dikeluarkan usahawan fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim (RI), tular dan mengundang perdebatan awam dan reaksi pendakwah di media sosial.
“Saya tak nak kain kafan biasa, saya nak jenama RI ini, sebagaimana baju saya di dunia, begitu jugalah jenama kain mati saya.
“Material kain bermutu baik dari Pakistan. Daripada Datuk Rizalman mesti yang terbaik,” katanya ketika sesi unboxing kit itu yang mencetus perdebatan ramai.
Ada segelintir pandangan masyarakat menyifatkan pembelian itu satu pembaziran, malah ada juga yang meninggalkan komen berupa sindiran dan mempersenda kematian, selain tidak kurang yang memberi kecaman dengan kata-kata kasar.
Menyusuli itu, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki menjelaskan Islam sebaliknya menggalakkan harta dimanfaatkan untuk perkara yang memberi faedah berpanjangan seperti sedekah, wakaf dan membantu golongan lebih memerlukan sebagai bekalan selepas kematian.
“Jika seseorang berkemampuan dan menyediakan kain kafan tanpa niat bermegah atau tanpa pendedahan yang tidak perlu serta masih dalam batas kesederhanaan, maka perbuatan itu tidak sampai ke tahap haram, walaupun ia bukan amalan yang utama.
“Bagaimanapun, apa yang membimbangkan adalah jika pembelian itu mengundang unsur riyak dan bermegah-megah,” katanya.
Namun, Cik Haliza dalam satu hantaran di Instagram pada 4 Januari menjelaskan tujuan beliau memuat naik video pembelian kit pengurusan jenazah berharga RM999 itu adalah untuk membantu mempromosikan produk terbaru Datuk Rizalman, yang mana hasil jualan 100 peratus akan dimasukkan ke dalam Yayasan RI.
“Saya tidak memerlukan kain kapan tersebut. Persediaan saya sudah ada, termasuk khairat dan wakaf van jenazah.
“Namun apabila sahabat saya mengeluarkan set kain kapan premium dengan niat kebajikan yang mana hasil jualan akan disalurkan kepada Yayasan RI untuk pembinaan masjid, surau dan sumbangan lain, saya memilih untuk membantu,” katanya, yang turut berterima kasih atas teguran menteri dan mufti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg