Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jabatan agama KL diminta siasat aduan kuliah masjid guna pembesar suara

Dec 9, 2024 | 7:05 PM
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Senator Dr Zulkifli Hasan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Senator Dr Zulkifli Hasan. - Foto BERNAMA

KUALA NERUS (Terengganu): Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta menyiasat aduan berkaitan sebuah masjid di Kuala Lumpur yang dikatakan memasang pembesar suara dengan kuat untuk tujuan kuliah agama sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada jabatan itu untuk melakukan apa yang diperlukan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Sudah ada jentera atau autoriti (Jawi) untuk ambil tindakan... kita tidak mahu ada apa-apa isu yang menggugat ketenteraman.

“Insya-Allah secara berhikmah dengan sebaik mungkin perkara itu akan ditangani tanpa membangkitkan ketidakselesaan masyarakat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan tular di media sosial berkaitan sebuah masjid di Keramat, Kuala Lumpur, yang didakwa memasang pembesar suara dengan terlalu kuat ketika sesi kuliah agama.

Ia didakwa menyebabkan timbul pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk berhampiran kawasan itu.

Terdahulu, tular video sepanjang 36 saat di media sosial berkaitan penggunaan pembesar suara terlalu kuat ketika kuliah agama di masjid terbabit.

Dr Zulkifli berkata semua pihak termasuk masjid perlu menjaga keharmonian masyarakat walaupun membabitkan kegiatan keagamaan.

Katanya, sebarang isu dan permasalahan perlu dirujuk kepada pihak yang berwajib bagi memastikan sebarang kegiatan dijalankan tanpa mengganggu sensitiviti masyarakat.

Isu gangguan pembesar suara dari masjid bukanlah yang pertama kali dilaporkan di Malaysia.

Sebelum ini iaitu pada Mac, seorang wanita dilaporkan pernah masuk ke ruang solat lelaki di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi, di Pulau Pinang, mendakwa bacaan imam ketika solat witir mengganggunya.

Mantan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, sebelum ini pernah dilaporkan sebagai berkata bahawa penggunaan pembesar suara masjid sepatutnya dibolehkan untuk laungan azan dan iqamat sahaja.

Menurut beliau jika kariah bebas menggunakan pembesar suara untuk kegiatan masjid yang lain, ia dikhuatiri mengganggu masyarakat setempat.

Datuk Dr Wan Salim juga dilaporkan berkata fatwa yang membenarkan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang hanya untuk laungan azan dan iqamat, selaras dengan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata kegiatan lain seperti bacaan Al-Quran, zikir, qiamullail, ceramah dan kuliah dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg