Jabatan rasuah M’sia, Britain siasat transaksi RM2.5b konglomerat
Jabatan rasuah M’sia, Britain siasat transaksi RM2.5b konglomerat
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius Britain (SFO UK) dalam siasatan berterusan membabitkan konglomerat utama Malaysia, IJM Corporation Bhd, berhubung transaksi kewangan dan pelaburan di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion ($800 juta).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kedua-dua agensi sedang bekerjasama rapat dan dikehendaki mematuhi prosedur tertentu dalam proses pengumpulan maklumat dan bukti.
“Saya tidak fikir ini akan menjadi masalah kerana setiap agensi mempunyai agenda sendiri dalam siasatan ini. Apa yang penting, kita perlu memastikan kededua pihak mendapat manfaat.
“Kami sedang dalam proses pertukaran maklumat, bukannya bukti lagi. Pegawai-pegawai saya kini sedang berkomunikasi dengan SFO,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Pada 6 Februari lalu, media Malaysia melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM berusia 70-an tahun telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Pada 19 Januari lalu pula, Bahagian Operasi Khas (BOK) menjalankan siasatan terhadap suspek itu berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 bilion di luar negara.
Menyusuli hal itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat pembinaan dan hartanah yang berkaitan membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
Sementara itu, seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka dan isterinya telah ditahan reman pada 12 Februari oleh SPRM, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta untuk tujuan pelantikan syarikat projek penambakan laut di sekitar Melaka.
Tan Sri Azam mengesahkan, penahanan reman suami isteri itu sehingga 16 Februari.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan itu antara Februari dengan November 2021.
Hasil siasatan turut mendapati wang rasuah berkenaan dipercayai digunakan untuk membeli seunit kondominium di Lembah Klang.
Tan Sri Azam turut memaklumkan penahanan Ketua Pengarah dan Pengarah di sebuah jabatan kerajaan pada 11 Februari, yang disyaki mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah.
Difahamkan, kedua-duanya dipercayai melakukan perbuatan itu semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari 2025.

