GEORGETOWN: Kerajaan Malaysia sedang membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius dari penghujung 2026 hingga April 2027.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kementeriannya turut mendapatkan pandangan pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi bagi mencari kaedah terbaik menghadapi perubahan cuaca berkenaan, khususnya kesannya kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Kita berada dalam persediaan mencari jalan, pakar-pakar teknologi AI, sains dan sebagainya, bagaimana untuk menghadapinya jika cuaca mencecah 40 darjah Celsius dari akhir tahun 2026 hingga dijangka pada April 2027,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) di Georgetown, Pulau Pinang, pada malam 7 Oktober.

Datuk Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata persediaan awal penting bagi memastikan kerajaan dan rakyat tidak panik sekiranya berlaku cuaca panas serta kering berpanjangan.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan berlaku kekurangan air, yang boleh memberi kesan terhadap sektor pertanian, termasuk kegiatan tanaman dan ternakan.

Beliau berkata maklumat serta ramalan awal berkaitan perubahan cuaca turut diambil kira bagi membolehkan langkah sewajarnya dirancang lebih awal.

Dalam pada itu, Datuk Mohamad berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober, dapat memberi perhatian kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), menyusuli cabaran yang dijangka dihadapi akibat fenomena cuaca El Nino.

Beliau berkata isu bekalan air juga perlu ditangani lebih awal bagi memastikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara itu tidak terjejas sekiranya berlaku tempoh cuaca panas yang panjang.

Sebelum ini, media Malaysia melaporkan fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan 2027 dan berpotensi mencapai tahap “super” atau sangat kuat bermula Oktober ini hingga Januari 2027.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, dilaporkan berkata keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu.

Beliau berkata analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan bahawa Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.

“Situasi itu menyumbang kepada risiko kejadian pembakaran terbuka khususnya di tanah gambut, hutan, belukar dan tapak pelupusan sampah yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya.