Jenazah suspek kes serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua konstabel polis, dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, dengan kuburnya dijarakkan jauh daripada liang lahad penghuni kubur lain.
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengenai penjarakan kubur suspek itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, dalam satu kenyataan, usai pengebumian jenazah lelaki berusia 21 tahun itu pada 12.30 tengah hari, 20 Mei.
Beliau berkata jawatankuasa itu berpendapat tindakan menjarakkan kubur suspek berbanding liang lahad lain adalah sebagai satu peringatan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara yang dilakukan suspek.
“la juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek lebih-lebih lagi membunuh pegawai yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek.
“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” katanya menerusi kenyataan pada 20 Mei.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor juga memutuskan jenazah suspek tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan berkaitan dan hanya diuruskan di hospital atau rumah keluarga suspek saja.
“Selepas selesai jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan, jenazah hendaklah dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan dan kedudukan kuburnya hendaklah berjauhan sedikit dari liang lahad penghuni kubur yang lain,” katanya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang pada 17 Mei lalu dipengerusikan Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad.
Hanya beberapa penduduk kampung yang membantu urusan pengebumian berada di tanah perkuburan itu, selain pegawai dan anggota polis yang melakukan kawalan keselamatan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih di atas peristiwa yang menimpa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
Encik Mohd Fared berkata Jawatankuasa Fatwa mengklasifikasikan kematian dua anggota polis berkenaan iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, yang terkorban dalam serangan berdarah itu sebagai kematian Fi Sabilillah dan syahid akhirat.
“Kematian Fi Sabilillah ialah kematian di jalan Allah swt kerana kematiannya menjaga dan mempertahankan keselamatan kepentingan negara.
“Jawatankuasa Fatwa juga memutuskan jenazah kededua anggota polis berkenaan sebagai syahid akhirat, yang mana pengurusan jenazah mereka hendaklah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah, iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya.
Dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.30 pagi 17 Mei lalu, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi meninggal dunia akibat ditetak di belakang leher dan kepala oleh suspek, manakala Allahyarham Muhamad Syafiq maut akibat ditembak di pipi sehingga menembusi kepala.
Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak pada 18 Mei, manakala Allahyarham Muhamad Syafiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 8, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang, pada hari sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg