Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perhimpunan Agung Umno ditunda Jan 2026

Oct 17, 2025 | 3:00 PM
Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2025 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sambil menekankan tumpuan parti dalam membantu Barisan Nasional (BN) meraih kepercayaan rakyat. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Umno memutuskan menangguhkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 kepada 14 hingga 17 Januari 2026, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tarikh awal PAU direncanakan pada 26 hingga 29 November 2025.

“Umno Malaysia mengambil maklum pengisytiharan yang telah dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang menetapkan PRN Sabah ke-17 akan berlangsung dari 15 hingga 29 November 2025.

“Dengan penangguhan ini, diharapkan kepimpinan dan jentera Umno seluruh Malaysia dapat menumpukan sepenuh tenaga dan usaha membantu Barisan Nasional (BN) Sabah bagi meraih kembali kepercayaan rakyat, untuk BN kembali mengemudi kerajaan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada 17 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

SPR menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi PRN Sabah ke-17.

PRN17 Sabah menyaksikan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal dipertandingkan.

SPR memperuntukkan RM116.8 juta ($35.87 juta) bagi melaksanakan urusan PRN Sabah.

Jumlah itu termasuk untuk pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya bagi melicinkan perjalanan pilihan raya.

Terdahulu dalam satu kenyataan lain, Datuk Dr Asyraf Wajdi, mengingatkan dua Ahli Parlimen (AP) Umno di Sabah bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta sekiranya mereka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.

Datuk Dr Asyraf Wajdi menjelaskan kededua wakil rakyat terbabit tertakluk kepada bon perjanjian yang ditandatangani bersama parti sebelum mereka menerima watikah calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jika mereka keluar daripada parti dengan maksud bertanding mewakili GRS, dengan sendirinya kontrak yang mereka tandatangani dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terpakai.

“Ini bermakna mereka kena membayar balik ganti rugi sebanyak RM100 juta kepada parti.

“Itulah nilai bon perjanjian dan ganti rugi yang sudah dipersetujui serta dimeterai di hadapan Pesuruhjaya Sumpah sebelum menerima watikah calon Parlimen dalam PRU lalu,” katanya, lapor BHM.

Difahamkan, isu membabitkan dua AP Umno di Sabah iaitu AP Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, dan AP Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, timbul menyusuli desas-desus kemungkinan mereka akan bertanding di bawah gabungan GRS yang diterajui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Datuk Hajiji, yang juga Pengerusi GRS sebelum ini, dilaporkan berkata gabungan itu tiada halangan menerima dua AP berkenaan untuk bertanding dalam PRN Sabah.

Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam Umno selama enam tahun sejak awal 2023 selepas menentang keputusan Umno Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS, yang mencetuskan kemelut politik dinamakan Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

Namun, sekiranya bertanding atas tiket GRS, kedua-dua mereka perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana ia dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg