Kampung Bharu di Kuala Lumpur bukan saja terkenal sebagai kawasan penempatan bersejarah dan terbesar Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur, bahkan dikenali sebagai syurga makanan.
Nasi lemak dan berbagai masakan tempatan selain sate, menu Barat, Thailand, Indonesia mahupun Timur Tengah, dan tidak kurang pula pelbagai pencuci mulut seperti cendol, apam balik, asam jeruk dan aiskrim pulut, menarik tumpuan kaki makan ke Kampung Bharu.
Pengunjungnya bukan saja daripada kalangan rakyat biasa, malah golongan tetamu kehormat utama (VVIP) selain selebriti tempatan dan antarabangsa, termasuklah Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, yang turut memilih salah satu tarikan di Kampung Bharu, iaitu restoran Nasi Lemak Wanjo, untuk bersarapan.
Walaupun di setiap lorong di Kampung Bharu ada saja gerai makan dan restoran yang menanti pelanggan, antara lokasi paling popular adalah di Jalan Raja Muda Musa.
Dengan kemegahan pintu gerbang yang menyambut kedatangan pengunjung, Jalan Raja Muda Musa lebih menjadi pilihan kerana deretan kedai makan yang berpusat di situ bagi memudahkan pengunjung membuat pilihan.
Antara yang terkenal di situ ialah Nasi Lemak Wanjo. Baru-baru ini kedai itu yang sudah mula beroperasi sejak 1963, menerima kejutan apabila dikunjungi Agong yang ingin menikmati sarapan.
Nasi Lemak Wanjo yang sudah memasuki generasi keempat, kini semakin maju berkembang. Bermula dengan kedai di depan rumah, kini sudah menjadi restoran besar, lengkap berhawa dingin dan kemudahan perniagaan moden bagi memastikan keselesaan pelanggan.
Pengurus Nasi Lemak Wanjo, Encik Mohd Nazri, 44 tahun, generasi ketiga mewarisi perniagaan itu, berkata nama perniagaan itu diinspirasikan daripada nama neneknya, Allahyarham Wanjo Rahmah.
Beliau berkata berdasarkan maklum balas pelanggan, ramai menggemari Nasi Lemak Wanjo kerana sambalnya yang tidak begitu pedas dan mengekalkan keaslian sambal Melayu – ada manis dan pedasnya yang seimbang.
“Di Nasi Lemak Wanjo, selain sambal, pelanggan juga boleh memilih aneka lauk tambahan dan antara paling popular ialah sambal paru, rendang daging dan ayam, ayam goreng berempah dan bergedel,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).
Seorang pelancong dari Singapura, Encik Jack Lee, 25 tahun, yang ditemui wartawan di kedai itu berkata Nasi Lemak Wanjo menjadi destinasi pertama mereka sebaik tiba di Kuala Lumpur, selepas carian ‘nasi lemak terbaik di KL’ menerusi Google menunjukkan Nasi Lemak Wanjo di tangga teratas.
“Saya fikir sambal nasi lemak di sini lebih pedas dari di Singapura. Rupanya rasanya tidak jauh berbeza. Cuma di sini banyak pilihan lauk. Malah harganya murah. Saya makan nasi lemak bersama rendang ayam dan ayam masak merah, manakala rakan saya pilih nasi lemak bersama lauk rendang limpa dan sambal kentang.
“Kami terkejut kerana harganya murah, RM22 ($6.3) bersama dua gelas air,” katanya yang berasal dari Korea Selatan.
Pelanggan tetap sejak 20 tahun lalu, TS Dr Zulrashid Zulkifli, 56 tahun, berkata beliau mula makan Nasi Lemak Wanjo sejak ia bermula di pekarangan rumah, sehinggalah berpindah ke restoran sekarang.
“Jika diikutkan, harga nasi lemak di tempat lain boleh didapati dengan harga serendah RM2, tetapi Nasi Lemak Wanjo ada keistimewaan tersendiri. Malah, rasanya tetap sama seperti 20 tahun dulu.
“Saya pilih Wanjo bukan hanya kerana keenakan nasi lemaknya, malah sukakan persembahan kedai dan pemasarannya menarik,” katanya.
Bagi pemandu pelancong, Encik Stephen Jacob, 44 tahun, dari Klang, Selangor, Nasi Lemak Wanjo menjadi destinasi wajib untuk beliau membawa kumpulan pelancong yang diuruskannya.
“Saya mahu mereka rasa keistimewaan nasi lemak Malaysia, dan pada masa yang sama perkenalkan makanan warisan di Malaysia dan budaya masyarakat Melayu di Kampung Bharu ini,” ujarnya.
Selain Nasi Lemak Wanjo, Restoran Sahrul, yang menjual aneka sate dan masakan panas, selain nasi kambing bakar, ikan bakar petai dan makanan barat, turut dipenuhi pelanggan.
Restoran dua tingkat itu juga menjanjikan pemandangan menarik berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas dan suasananya bertambah menarik dengan gemerlapan cahaya pada waktu malam.
Sate di restoran itu memenuhi ciri penting keenakan sajian sate iaitu seimbang rasa manis dan rempahnya, daging yang berjus, segar dan tidak kering serta kuah kacang yang sedap dan pekat.
“Saya tak jumpa sate lain sesedap di sini. Jadi ketagih mahu makan sate. Saiz sate pun besar dan puas makan,” kata Cik Nur Syuhada Mansor, 33 tahun, seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur.
Untuk sampai ke Jalan Raja Muda Musa ini, pengunjung boleh menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) dan turun di stesen Kampung Bharu, dengan jarak kurang 500 meter berjalan kaki.
Kebanyakan kedai di Jalan Raja Muda Musa ini memulakan waktu perniagaan pada sebelah petang hingga awal pagi.
Namun ada juga kedai yang beroperasi awal seperti Nasi Lemak Wanjo yang dibuka seawal 6 pagi hingga lewat malam.
Sesuai statusnya sebagai lokasi tarikan pelancong, pengunjung perlu bersedia menempuh kesesakan pada waktu sibuk di Kampung Bharu.
Untuk pemandu kenderaan, boleh letakkan kenderaan di tempat letak kereta yang disediakan dengan bayaran sekitar RM5 untuk tempoh beberapa jam.
Namun, berhati-hati dengan ‘ulat parking’ yang kadangkala ambil kesempatan menekan pelancong dengan caj tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg