SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kapal M’sia pertama selamat belayar di Selat Hormuz hasil diplomasi peringkat tinggi

Kapal M’sia pertama selamat belayar di Selat Hormuz hasil diplomasi peringkat tinggi

Tujuh kapal milik M’sia dijangka belayar dengan selamat
Apr 7, 2026 | 2:55 PM

Kapal M’sia pertama selamat belayar di Selat Hormuz hasil diplomasi peringkat tinggi

Selat Hormuz, diplomasi Malaysia, kapal Malaysia
Kapal pertama dari Malaysia yang telah dibenarkan melalui Selat Hormuz. - Foto X KEDUTAAN IRAN DI MALAYSIA

Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) mengesahkan satu daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz berikutan konflik di Timur Tengah, kini berlayar dengan selamat menuju destinasi.

Wisma Putra, dalam kenyataan pada 7 April, memaklumkan pencapaian positif itu adalah hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi yang berterusan.

Usaha itu termasuklah hasil perbualan telefon yang konstruktif pada 26 Mac antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Republik Islam Iran, Encik Masoud Pezeshkian.

Turut terlibat, perbincangan antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran, Encik Abbas Araghchi, pada 24 Mac.

“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi dan keselamatan dalam laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog berterusan dan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran serantau untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Kedutaan Iran di Malaysia memaklumkan kejayaan kapal pertama Malaysia itu melalui Selat Hormuz.

“Kami telah menyatakan bahawa Republik Islam Iran tidak melupakan rakan-rakannya,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X.

Pada 31 Mac, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengesahkan kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz ketika konflik di Timur Tengah, tidak akan dikenakan sebarang caj tol, sebagaimana yang dikenakan terhadap negara lain.

“Duta Besar Iran ke Malaysia, Encik Valiollah Mohammadi Nasrabadi, telah memaklumkan perkara ini (kepada Datuk Anwar) kerana Malaysia dianggap sebagai negara sahabat dengan hubungan diplomatik yang kukuh, dan tiada caj tol dikenakan terhadap kapal Malaysia,” katanya.

Sekurang-kurangnya tujuh kapal milik Malaysia dijangka belayar dengan selamat melalui Selat Hormuz dalam tempoh beberapa hari lagi, menyusuli jaminan daripada Iran, walaupun ketegangan di rantau itu semakin meningkat.

Kapal-kapal itu terdiri daripada tiga milik Petronas, dua milik MISC Bhd, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.

Terdahulu Encik Valiollah dilaporkan berkata Tehran dimaklumkan tentang kehadiran kapal Malaysia berkenaan di Teluk Parsi serta hasrat mereka untuk melalui laluan perairan strategik itu.

Sekatan terhadap pergerakan kapal di selat itu berlaku selepas Iran mengehadkan transit melalui laluan penting sejagat yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap serangan dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel sejak Februari.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg