Ketidaktentuan ekonomi sejagat terutama konflik di Iran yang turut memberi kesan kepada lonjakan kos sara hidup mendorong rakyat Malaysia semakin aktif mengusahakan kebun serta penternakan kecil-kecilan di ruang lapang di rumah bagi mengurangkan perbelanjaan barang dapur.

Kebimbangan terhadap kesan perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang memberi tekanan kepada harga bahan api dan rantaian bekalan makanan sejagat ketika ini, menyebabkan orang ramai mencari alternatif untuk menjamin bekalan makanan keluarga.

Bagi sebahagian mereka, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi penjimatan kos, malah menjadi satu bentuk aktiviti terapi dan pendidikan keluarga, khususnya dalam memperkenalkan sumber makanan kepada generasi muda.

Di Taman Perwira Setia, Gombak, Selangor, usaha pasangan suami isteri, Cik Aida Haniza Adnan, 58 tahun, dan Encik Iqmal Fajri Danial, 58 tahun, berkebun di kawasan kecil di belakang rumah mereka, kemudian berkembang kepada inisiatif sepakat bersama kejiranan, membangunkan kawasan perkebunan dan penternakan dikenali sebagai Garden8.

Cik Aida yang mewakili komuniti Garden8 ketika ditemui Berita Harian (BH) berkata, kesedaran bercucuk tanam bermula sejak pandemik Covid-19, yang bertujuan menghasilkan pelbagai sumber makanan terutama sayuran ketika rantaian bekalan terhad.

Namun, konflik sejagat yang kini semakin menekan ekonomi dan kos sara hidup menjadikan projek Garden8 aset bernilai kepada penduduk, menjamin bekalan makanan asas seperti sayuran dan ikan, malah mengurangkan kebimbangan ketika harga di pasaran terus melonjak.

Menurut Cik Aida, kawasan belakang rumah yang sebelum ini dipenuhi semak samun dan tidak terurus berjaya diubah menjadi ruang yang lebih bermanfaat kepada komuniti.

“Kawasan ini dahulu usang dan tidak terjaga. Ada tikus, biawak dan masalah nyamuk Aedes. Jadi kami fikir bagaimana hendak menukar kawasan yang tidak berfungsi kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada penduduk.

“Hari ini ia bukan sekadar kebun yang membekalkan sumber makanan, tetapi juga menjadi kawasan riadah dan tempat komuniti berkumpul,” katanya.

PROJEK KEBUN BERKEMBANG

Encik Iqmal berkata projek yang pada asalnya dirancang untuk membabitkan lapan rumah sehingga dinamakan Garden8, kini berkembang kepada lima fasa pembangunan dan melibatkan 44 rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, dalam tempoh kira-kira lima tahun, kebun komuniti itu berkembang sehingga hampir 200 meter panjang dengan pelbagai jenis tanaman termasuk bayam, cili, terung, sawi, serai, pandan, kucai dan pelbagai lagi.

Penggerak kebun komuniti Garden8 di Taman Perwira Setia, Gombak, Selangor, Encik Iqmal Fajri Danial (kiri) menunjukkan ternakan ikan tilapia merah kepada pelawat.
Penggerak kebun komuniti Garden8 di Taman Perwira Setia, Gombak, Selangor, Encik Iqmal Fajri Danial (kiri) menunjukkan ternakan ikan tilapia merah kepada pelawat. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Selain tanaman, penduduk turut mengusahakan ternakan ikan sebagai sumber protein bagi kegunaan komuniti.

“Apabila kita tanam dan ternak sendiri, kita dapat mengurangkan kos membeli bahan masakan. Apa yang kita hasilkan juga lebih segar, organik dan bebas racun,” katanya.

Kebun komuniti lorong belakang pertama di Malaysia yang telah memenangi puluhan anugerah itu turut menerapkan elemen kelestarian seperti sistem penuaian air hujan, penggunaan lampu solar dan amalan kitar semula.

Usaha itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjadikan Garden8 sebagai kebun angkat bagi program pemindahan ilmu berkaitan pertanian bandar.

Beberapa jabatan kerajaan terutama Jabatan Kesihatan juga pernah mengadakan lawatan ke kawasan itu bagi mempromosikan agenda Malaysia Sihat serta amalan kebersihan dan keceriaan komuniti.

Menariknya, kata Cik Aida, hasil tanaman yang dituai daripada Garden8 bukan saja menampung keperluan penduduk, tetapi turut dijual di pasar komuniti yang dianjurkan penduduk di kejiranan itu pada Ahad terakhir setiap bulan.

Penggerak Garden8, Cik Aida Haniza Adnan (dua dari kiri) membantu pelawat memetik hasil terung di kebun komuniti itu.
Penggerak Garden8, Cik Aida Haniza Adnan (dua dari kiri) membantu pelawat memetik hasil terung di kebun komuniti itu. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

“Hasil kutipan daripada program itu digunakan untuk menaik taraf kemudahan kebun serta menampung kos penyelenggaraan,” katanya.

Encik Iqmal yang juga pesara berkata, dalam ketidaktentuan ekonomi kini, konsep kebun komuniti wajar diperluaskan ke lebih banyak kawasan perumahan kerana ia membantu meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap cabaran bekalan makanan.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak lain dalam soal keselamatan makanan. Rakyat juga perlu memainkan peranan,” katanya.

Bagi Encik Muhammad Rizal Abdul Rahman, 34 tahun, minat terhadap aktiviti bercucuk tanam bukan sekadar hobi mengisi masa lapang, malah menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang memberi manfaat kepada keluarga dan komuniti sekeliling.

Penduduk perumahan di Eco Majestic, Semenyih, Selangor, itu berkata, walaupun penjimatan daripada hasil tanaman yang diusahakan di rumah tidak begitu ketara, aktiviti berkebun tetap membantu mengurangkan perbelanjaan harian.

“Kalau dari segi sayuran memang ada penjimatan, tetapi tidaklah terlalu besar kerana keluarga saya masih kecil,” katanya yang menanam jagung, terung, tomato dan pelbagai sayuran lain di kawasan lapang kecil di tepi rumah.

Namun bagi Encik Muhammad Rizal, amalan bercucuk tanam dan menternak ikan di rumah perlu diperluaskan kerana ia memainkan peranan penting dalam aspek keterjaminan makanan keluarga.

“Saya melihat sangat penting untuk setiap rumah mempunyai kebun dan menternak ikan supaya kita dapat mewujudkan ekosistem makanan sendiri di rumah. Sekurang-kurangnya ada sumber makanan yang boleh dihasilkan sendiri,” katanya.

KEBUN DI SEKOLAH

Dalam pada itu, kesedaran untuk bercucuk tanam dan menternak bagi menjamin bekalan makanan ini turut dipupuk di peringkat sekolah, sebagai medium pendidikan kepada generasi muda.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada teknik pertanian moden dan diberi peluang menguruskan kebun serta projek ternakan ikan diusahakan di dalam kawasan sekolah, malah dapat membawa pulang hasilnya untuk keluarga.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, Selangor, bersama hasil tanaman di sekolah yang boleh dibawa pulang untuk makanan keluarga.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, Selangor, bersama hasil tanaman di sekolah yang boleh dibawa pulang untuk makanan keluarga. - Foto MUHD AZEEM FIQRI

Guru Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Encik Muhd Azeem Fiqri, berkata projek ternakan ikan tilapia merah dimulakan pada Februari lalu menerusi dua kolam yang dibangunkan, selain mengusahakan kebun menggunakan sistem fertigasi dan rumah lindungan hijau bagi menempatkan pelbagai tanaman.

Menurut beliau, hasil tanaman seperti terung, cendawan tiram dan nanas.yang diperoleh akan diagihkan kepada pelajar sebagai galakan selain memberi pendedahan mengenai kepentingan menghasilkan makanan sendiri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, Selangor, turut membawa pulang ilmu pertanian untuk diaplikasikan bersama keluarga di rumah.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, Kuala Selangor, Selangor, turut membawa pulang ilmu pertanian untuk diaplikasikan bersama keluarga di rumah. - Foto MUHD AZEEM FIQRI

Encik Muhd Azeem berkata kesedaran mengenai kepentingan pertanian dalam kalangan pelajar semakin meningkat apabila sebahagian daripada mereka turut mempraktikkan aktiviti berkenaan di rumah.

“Ada pelajar yang sudah mula bercucuk tanam sendiri di rumah. Ada yang membina sistem hidroponik secara kecil-kecilan dan mengusahakan tanaman bersama keluarga.

“Ini menunjukkan pendedahan yang diberikan di sekolah mampu memberi kesan positif dan menggalakkan mereka menghasilkan makanan sendiri,” katanya kepada BH.

PERMINTAAN TINGGI AKUAPONIK

Pemilik perusahaan Secret Krebiz Aquaventures yang membekalkan sistem akuaponik, Encik Aqran Ismail, 36 tahun, berkata permintaan terhadap sistem pertanian dan penternakan berskala isi rumah meningkat ketara sejak akhir Februari lalu, didorong kesan perang Amerika Syarikat - Israel ke atas Iran.

Pemilik Secret Krebiz Aquaventures, Encik Aqran Ismail (kiri ) yang membekalkan sistem akuaponik untuk pertanian dan ternakan memasang kelengkapan itu di rumah seorang pelanggan di Kuala Lumpur.
Pemilik Secret Krebiz Aquaventures, Encik Aqran Ismail (kiri ) yang membekalkan sistem akuaponik untuk pertanian dan ternakan memasang kelengkapan itu di rumah seorang pelanggan di Kuala Lumpur. - Foto ihsan AQRAN ISMAIL

Menurut beliau, peningkatan kos hidup serta kenaikan harga barangan keperluan menyebabkan lebih ramai orang melihat aktiviti berkebun dan menternak sebagai langkah praktikal untuk berjimat.

“Banyak perbezaan berbanding sebelum konflik di Iran. Sejak kenaikan kos sara hidup, harga diesel dan barang keperluan, orang ramai mula mencari peluang untuk berkebun dan menternak ikan di rumah.

“Sejak Februari lalu, permintaan terhadap sistem yang kami tawarkan melonjak sehingga 40 peratus,” katanya kepada BH.

Encik Aqran berkata, sistem akuaponik semakin mendapat perhatian kerana membolehkan pengguna menghasilkan sumber protein dan sayur-sayuran dalam satu sistem yang sama.

Katanya, konsep itu menggabungkan penternakan ikan dan penanaman sayuran seperti kangkung, bayam, salad dan sawi, sekali gus membantu isi rumah mengurangkan pergantungan kepada bekalan makanan yang dibeli di pasaran.

“Kalau ternak ikan sahaja, hasilnya ikan. Kalau hidroponik pula hanya dapat sayur. Akuaponik menggabungkan kedua-duanya sekali.

“Di bahagian bawah kita ternak ikan, manakala di bahagian atas kita tanam sayuran. Jadi satu sistem boleh menghasilkan dua sumber makanan untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Peningkatan harga barang dari kesan krisis geopolitik di Iran menyebabkan sistem ‘kolam’ ternakan ikan dan tanaman sayuran dikeluarkan Secret Krebiz Aquaventures milik Encik Aqran Ismail, mendapat permintaan tinggi.
Peningkatan harga barang dari kesan krisis geopolitik di Iran menyebabkan sistem ‘kolam’ ternakan ikan dan tanaman sayuran dikeluarkan Secret Krebiz Aquaventures milik Encik Aqran Ismail, mendapat permintaan tinggi. - Foto ihsan AQRAN ISMAIL

Beliau berkata trend itu tidak lagi terhad kepada penduduk luar bandar atau mereka yang mempunyai tanah luas, sebaliknya semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk bandar termasuk penghuni kondominium.

“Pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang tinggal di taman perumahan, tanah lot dan juga kondominium.

“Selagi mempunyai ruang yang sesuai mengikut saiz sistem, mereka boleh memasangnya di rumah,” katanya.

Menurut beliau, sistem yang ditawarkan syarikatnya adalah antara yang terendah di pasaran bermula pada harga RM1,350 ($427) hingga RM3,300, dengan sasaran utama membantu isi rumah berjimat dalam perbelanjaan makanan.

Encik Aqran berkata perniagaannya itu sebenarnya bermula dari usahanya menternak ikan dan bertani kecil-kecilan di rumah ketika pandemik Covid-19 selepas pendapatan sebagai pelatih keusahawanan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada mulanya saya membina sistem ini untuk kegunaan sendiri ketika pandemik. Apabila jiran-jiran mula menunjukkan minat dan bertanya mengenainya, dari situlah perniagaan ini berkembang,” katanya.

Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia, Cik Mahani Amat @ Halimi.
Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia, Cik Mahani Amat @ Halimi. - Foto ihsan MAHANI AMAT @ HALIMI

Sementara itu, Pegawai Pertanian Kanan, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia, Cik Mahani Amat @ Halimi, bersetuju kesedaran masyarakat kebelakangan ini terhadap usaha bercucuk tanam di rumah semakin meningkat.

“Terutama sejak pandemik Covid-19 dan tekanan kos sara hidup yang berlanjutan hingga kini,” katanya kepada BH.

Menurut beliau, dalam usaha menggalakkan aktiviti perkebunan terutama di penempatan bandar yang keluasan tanahnya terhad, pemindahan ilmu yang komprehensif dan inklusif oleh pakar UPM dan swasta banyak membantu komuniti menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti pertanian.

“UPM sememangnya aktif dalam memperkasakan aktiviti pertanian bandar dan kebun komuniti.

“Ia adalah bukti bahawa ilmu dan inovasi universiti boleh mengubah kehidupan rakyat. Sudah tiba masanya kebun komuniti diintegrasikan dengan teknologi yang sesuai agar manfaatnya dapat dinikmati oleh pelbagai pihak,” katanya.