Pengerusi PN baru bakal diketahui 22 Feb
Ketua pembangkang baru di Parlimen akan turut dilantik semasa mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN
MARANG (Terengganu): Selepas berlarutan hampir dua bulan, kekosongan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka terjawab pada mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN (MTPN) gabungan politik berkenaan, pada 22 Februari ini.
Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata mesyuarat dijadualkan di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur itu bukan sahaja akan membincangkan calon pengerusi baru PN bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, katanya, mesyuarat itu turut dijangka menyentuh pelantikan ketua pembangkang baru di Parlimen, menyusuli pemecatan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Ketua Pembangkang, pada 13 Februari lalu.
Tan Sri Abdul Hadi berkata PAS akan mengambil alih teraju PN menyusuli peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen (AP) Pagoh (Johor), yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Kita akan bincang dan putuskan pengerusi baru PN dan tidak menolak kemungkinan turut membincangkan hal Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Setakat ini PAS belum buat keputusan mengenai jawatan Ketua Pembangkang, mungkin dibincangkan pada mesyuarat nanti,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menjelaskan demikian selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, pada 20 Februari, AP Marang itu berkata, PAS perlu berusaha menyelamatkan PN kerana mentadbir negara memerlukan kerjasama semua pihak.
“Perkara paling penting dalam mesyuarat nanti ialah usaha menyelamatkan PN. PAS berpandangan jika mahu memerintah negara, ia mesti membabitkan semua pihak,” katanya.
Mengulas kunjungan Datuk Hamzah yang menemuinya selepas dipecat daripada Bersatu, Tan Sri Abdul Hadi berkata beliau turut menerima kunjungan wakil Tan Sri Muhyiddin yang diketuai Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak, iaitu kumpulan Datuk Hamzah dan Tan Sri Muhyiddin, masing-masing mengemukakan hujah dan kita akan berusaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” katanya.
Mengulas cadangan Datuk Hamzah untuk menubuhkan parti dan ‘rumah baru’, Tan Sri Abdul Hadi berkata ia terserah kepada AP Larut (Perak) itu untuk membuat keputusan.
Sebelum ini MTPN menunda mesyuarat pelantikan Pengerusi baru PN yang sepatutnya diadakan pada 29 Januari lalu.
Mesyuarat itu digantikan dengan ‘mesyuarat pramajlis’ di kediaman Tan Sri Muhyiddin selepas berlaku pertikaian membabitkan kenyataan bahawa PAS dan Bersatu bersetuju untuk jawatan Pengerusi PN dimansuhkan.
Bagaimanapun, Tan Sri Abdul Hadi tidak hadir ke mesyuarat berkenaan.

